KES baharu Covid-19 di Malaysia naik mendadak kepada 78 kes berbanding 50 yang dilaporkan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Pesakit yang pulih dan dibenarkan pulang pula adalah seramai 63 orang, manakala satu kes kematian dilaporkan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan sehingga kini 115.
“Daripada 78 kes baharu yang dilaporkan, 25 adalah kes import.
“Daripada 53 kes penularan tempatan, 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 25 kes telah dikesan di depot tahanan Imigresen di Bukit Jalil,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Kematian baharu membabitkan lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,tambah beliau.
Mangsa dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 3 April dan disahkan meninggal dunia pada 2.58 petang semalam.
Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 kini 7,137, manakala seramai 5,895 orang sembuh sehingga kini.
Dr Noor Hisham juga berkata seramai 1,163 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, sembilan pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi dan empat daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, katanya. – 22 Mei, 2020.
Komen