12 tahanan penjara Haiti disahkan positif Covid-19


Seorang wanita memakai topeng muka di sekitar pasar di Port-au-Prince, Haiti. Menurut laporan rasmi terkini semalam, seramai 22 orang terbunuh di Haiti akibat Covid-19. – Gambar EPA, 22 Mei, 2020.

HAMPIR 12 orang tahanan di penjara terbesar di Haiti disahkan positif Covid-19, kata seorang pegawai kepada AFP semalam.

Minggu lepas kira-kira 50 tahanan di penjara Port-au-Prince dilaporkan mengalami demam mendorong pegawai kesihatan menjalankan pemeriksaan ke atas 12 tahanan untuk mengambil sampel.

Keputusan menunjukkan 11 tahanan sah positif Covid-19.

“Saya mengesahkan Covid-19 sudah dikesan di penjara,” kata Pengarah Penjara Charles Nazaire Noel kepada AFP.

“Kami berusaha untuk mengelakkannya tapi tetapi terjadi. Kami tidak akan menyerah, kami akan terus memperkuat sistem sanitasi penjara,” katanya sambal menambah akan meminta Kementerian Kesihatan untuk menyaring semua tahanan penjara.

Haiti mempunyai lebih 11,000 orang di penjara – kebanyakan mereka menunggu untuk dihukum, kadang-kadang sehingga bertahun-tahun dalam keadaan menyedihkan sehingga aktivis hak asasi manusia menyamakannya dengan penyeksaaan.

Negara termiskin di Amerika ini melaporkan 663 kes Covid-19 dan sudah menjalankan lebih 2,100 ujian sejak kes pertama dikesan pada 19 Mac.

Menurut laporan rasmi terkini semalam, seramai 22 orang terbunuh di Haiti akibat Covid-19. 

Sekarang virus itu sudah merebak di penjara yang terletak di ibu kota dan mendatangkan kebimbangan sekiranya jumlah kematian meningkat dengan cepat.

Penjara Port-au-Prince yang dibina untuk menampung maksimum 778 tahanan menahan lebih 3,600 orang lebih tiga perempat dari mereka yang sedang menunggu perbicaraan selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun.

“Penjara di Haiti merupakan bilik kecil dengan ruang untuk 10 hingga 20 orang ,” kata Marie Rosy Auguste Ducena dari Jaringan Hak Asasi Manusia Nasional pada awal April.

“Tetapi penjara ini dapat memuatkan 80 orang. Bayangkan betapa sesaknya mereka yang ditahan di sini,” katanya. – AFP, 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen