JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Belia dan Sukan selepas laporan Ketua Audit Negara siri kedua 2016 dikeluarkan hari ini.
Pengerusi PAC Hassan Ariffin berkata, selain beberapa kementerian, prestasi audit jabatan dan agensi kerajaan lain bertambah baik.
“Masih ada kementerian dan jabatan yang mempunyai masalah dan kelemahan. Kita akan panggil Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan pembinaan kemudahan sukan kepada belia,” katanya pada sidang media di pejabat PAC di Parlimen hari ini.
“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, juga kita akan panggil, yang ada kepentingan masyarakat”.
Hassan berkata, selain itu PAC akan turut memanggil Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Malaysian Venture Capital untuk memberi penjelasan.
“Ada lagi kementerian yang akan kita panggil untuk memberi penjelasan.
“Ia bagi menambah baik serta mencari usaha untuk supaya kementerian dan jabatan serta agensi berjalan dengan lebih baik, bukan nak cari kesalahan dan kelemahan,” katanya.
Sementara Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad berkata pihaknya menggunakan pendekatan baharu tanpa perlu menunggu sehingga pembentangan PAC dilakukan.
Katanya, mesyuarat diadakan dengan badan terlibat untuk mengenal pasti mana-mana penjawat awam yang cuai atau melanggar peraturan agar tindakan segera dapat diambil.
“Kaedah begini merupakan kaedah berkesan. Dalam siri satu laporan lalu, kita lihat sebelum perbentangan atau sebaik sahaja pembentangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun membuat tindakan terhadap beberapa pegawai dalam agensi tertentu jadi tindakan segera dan proaktif dapat dijalankan dilaksanakan sekarang.
“Jabatan Audit Negara sentiasa bekerja dengan semua agensi penguatkuasa kerana Laporan Ketua Audit Negara ini perlu dilihat sebagai satu yang serius dan satu peluang untuk penambahbaikan,” katanya. – 27 November, 2017.
Komen