SEMPADAN ditutup, penerbangan dibatalkan, sekatan pergerakan yang ketat dan kekurangan komunikasi menyebabkan sekurang-kurangnya 150 rakyat Malaysia terkandas di Filipina selama lebih dua bulan.
Antaranya adalah wanita hamil, warga emas dan mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan krisis ekonomi susulan wabak Covid-19.
Beberapa kumpulan memberitahu The Malaysian Insight, mereka kekurangan wang dan lebih memburukkan keadaan, kedutaan besar Malaysia di Manila menyarankan agar mereka menyewa sendiri penerbangan pulang.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Wisma Putra dan sedang menunggu jawapan.
Lee Kee Kiong, 34, dari Miri, Sarawak, berkongsi pengalaman bagaimana beliau dan isteri, Cherie Liew, 26, menjalani hidup ketika perintah pengurungan di sana dengan anak kedua mereka yang dijangka lahir dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Lee, yang bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di ibu negara Filipina sejak Mac tahun lalu berkata, beliau dan isteri sepatutnya kembali ke Malaysia dua bulan lalu. Namun, perintah pengurungan itu menjejaskan rancangan mereka.
Beliau kemudian mengetahui terdapat dua penerbangan dihantar ke Filipina bulan lalu untuk membawa pulang rakyat Malaysia, tetapi memandangkan pengumuman itu disiarkan di laman Facebook kedutaan, beliau dan ramai yang lain tidak mengetahui mengenainya.
Seramai 181 rakyat Malaysia dibawa pulang melalui penerbangan tersebut - 58 orang pada 5 April, dan 123 orang pada 28 April.
“Kami tidak menyedari atau diberitahu mengenai penerbangan menyelamat pada April. Bukan semua kami mempunyai akaun Facebook.
“Kedutaan tidak begitu membantu. Bila kami bertanya kepada mereka jika akan ada penerbangan lain, kami mendapat jawapan ‘tidak pasti’.
“Siapa lagi yang kami tuju jika bukan kedutaan kita sendiri?”
Beliau memberitahu isterinya hamil 30 minggu, dan pasangan itu nekad untuk kembali ke Malaysia kerana bimbang kualiti penjagaan kesihatan dan kewarganegaraan anak mereka.
Lee sudah membeli tiket dengan AirAsia untuk 12 Jun, tetapi jika perintah pengurungan dilanjutkan dan mereka terlepas tarikh, beliau dan isteri tidak mempunyai pilihan selain menyambut kelahiran anak mereka di Manila, kerana terlalu berisiko bagi Liew untuk menaiki penerbangan ketika sarat.
Pada 16 Mac, Presiden Filipina Rodrigo Duterte meletakkan Pulau Luzon di bawah kuarantin komuniti diperketatkan (ECQ) bagi mengekang penyebaran Covid-19.
Akhir bulan lalu, kerajaan melanjutkannya hingga 15 Mei ke Manila dan 17 wilayah di Luzon yang dianggap kawasan berisiko tinggi, sementara sekatan di tempat lain dilonggarkan.

Lanjutan itu menyaksikan beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka, menyebabkan lebih banyak orang terkandas.
Lim Chien Seng, 31, sepatutnya kembali ke Malaysia pada 26 Mac selepas kontrak kerjanya tamat. Bagaimanapun, ECQ memaksanya terus tinggal di situ.
Chef itu berkata mengetahui mengenai penerbangan khas pada 28 April daripada kakaknya, yang menyedari pengumuman itu di laman Facebook kedutaan.
“Bagi orang seperti saya yang bekerja 12 jam di restoran, tidak banyak masa untuk menggunakan Facebook. Saya juga tidak mengikutinya (halaman kedutaan).”
Chien Seng berkata menghadapi masalah kewangan dan terpaksa bergantung kepada simpanannya.
“Saya menggunakan wang untuk penginapan dan makanan sejak pengurungan, dan jika ini berterusan, saya akan kehabisan wang tidak lama lagi.
“Oleh kerana saya tidak dapat kembali ke Malaysia, dan permit kerja sudah tamat, saya sekarang menggunakan visa pelancong. Saya perlukan wang kerana ia tidak tidak dikecualikan.”
Berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Chien Seng berkata ingin pulang secepat mungkin kerana jumlah kes koronavirus di Filipina semakin membimbangkan.
Negara itu mencatatkan 13,434 jangkitan dan 846 kematian setakat semalam. – 22 Mei, 2020.
Berita penuh di sini
Komen