Pakatan kalah undi Bajet 2018 sebab tak kira Stampin


Amin Iskandar

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata Ahli Parlimen Kapar G Manivannan yang meminta undi belah bahagian gagal untuk menandatangani undian Tan, menyebabkan undinya tidak dikira. – Gambar The Malaysian Insight, 27 November, 2017.

UNDI belah bahagian Bajet 2018 minggu lalu mungkin menjadi “seri” sekiranya Ahli Parlimen PKR turut mengira undi seorang lagi Ahli Parlimen DAP Stampin Julian Tan, kata Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

Pandikar berkata, Ahli Parlimen Kapar G Manivannan yang meminta undi belah bahagian gagal untuk menandatangani undian Tan (DAP-Stampin), menyebabkan undinya tidak dikira.
 
“Ahli Parlimen PKR Kapar G.Manivannan sebagai ketua blok E gagal tandatangani undian Ahli Parlimen DAP Setampin Julian Tan dan beliau sendiri sahkan senarai ahli-ahli yang mengundi bagi blok itu.

“Ini bermakna yang mengira undi di blok E  tidak masukkan nama Stampin dan beliau sendiri sahkan senarai yang mengundi,” kata Pandikar dalam Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Minggu lalu, kerajaan menang tipis perbahasan Bajet 2018 pada peringkat jawatankuasa dengan satu undi di Dewan Rakyat berikutan timbul kekecohan selepas PH cuba membuat undian ketika hanya beberapa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) hadir. 

Dalam pengundian itu, seramai 52 ahli Parlimen menyokong bajet tersebut, 51 menolak dan dua wakil rakyat daripada PAS mengambil sikap berkecuali.

Ahli Parlimen Kapar yang menggalas tanggungjawab dalam mengira undi belah bahagian daripada PH mengakui kesilapannya. 

“Saya akui ada kesilapan pada tempoh hari disebabkan pengiraan jumlah yang tidak mencerminkan blok pembangkang,” kata Manivannan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai ahli-ahli Dewan yang masuk lewat untuk mengundi, Pandikar berkata, Peraturan Mesyuarat 47(3), membenarkan setiap ahli yang hadir mengundi.

”Apabila tiap-tiap ahli yang hadir telah ditanya pihak mana hendak diundinya, maka pengerusi hendaklah menyebut berapa bilangan yang bersetuju dan berapa bilangan yang tidak bersetuju  dan setelah itu hendaklah dimasyurkan keputusan undian itu dan jika dikehendaki, pengerusi hendaklah mengeluarkan undia pemutus,” peraturan itu menyebut.

Disebabkan itu, Pandikar memutuskan undi belah bahagian minggu lalu adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 46 dan 47.

Mengulas dakwaan Gobind, Menteri KPDNKK Hamzah Zainuddin pergi ke meja Setiausaha Dewan ketika proses pengundian, Pandikar berkata tindakan itu tidak menjejaskan proses undian belah bahagian.

Pandikar berkata, Dr Mohd Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) turut ke meja Setiausaha Dewan Rosmee Hamzah ketika proses pengundian. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen