MALAYSIA menuntut kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan isu Rohingya, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Dalam Negeri itu berkata Malaysia tidak boleh hanya duduk dan lihat kesengsaraan yang dialami etnik berkenaan.
“Di Asean, nasib etnik Rohingya di Rakhine memerlukan penyelesaian segera dan konkrit sebelum ia menjadi tidak terkawal.
“Kami bukan menentang kerajaan Myanmar. Mereka adalah rakan dalam Asean tetapi mereka perlu menunjukkan kemahuan yang kuat untuk selesaikan isu itu,” katanya ketika berucap pada persidangan Khayr Ummah 2017 di Kuala Lumpur.
Kira-kira 620,000 etnik Rohingya, iaitu lebih separuh daripada jumlah mereka, melarikan diri daripada negeri Rakhine, Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos lalu untuk menyelamatkan diri daripada keganasan yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat sebagai penghapusan etnik.
Zahid juga berkata, Islam bukanlah agama kekerasan kerana ia menggalakkan perbincangan dan penyatuan.
“Keganasan tidak memiliki agama dan kita umat Islam mendapati tindakan kumpulan Negara Islam (IS) dan Daesh adalah memalukan.
“Penculikan di selatan Filipina dan serangan di bandar Marawi merupakan insiden yang berlaku hampir dengan Malaysia. Apa yang berlaku di sana akan memberi kesan kepada kita.”
Zahid juga berkata tiada agama yang boleh menentang keganasan sendirian.
“Bersama-sama dengan kepercayaan lain, kita bergerak sebagai satu untuk membanteras keganasan. Perlu diingat bahawa fahaman radikal wujud dalam semua masyarakat, semua agama.
“Terpulang kepada kita untuk untuk meyakinkan mereka bahawa Islam tiada kaitan dengannya. Dengan meletakkan usaha berterusan, stigma Islamofobia boleh dipadamkan dari dunia,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi Saleh Abdulaziz Muhammad Al Ash-Sheikh.
Persidangan itu turut dihadiri imam dan khatib Masjid Mekah dan Ulama dari Asean dan negara Arab melibatkan 30 cendekiawan Islam dan ahli akademik untuk berkongsi pengetahuan dan memberikan input dalam memperkukuhkan Islam dan penyatuan di Asean dalam suasana yang holistik. – 27 November, 2017.
Komen