UNDI belah bahagian Bajet 2018 diminta Pakatan Harapan (PH) pada 20 November lalu berniat tidak baik, kata Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia hari ini.
Beliau berkata, undian Bajet 2018 bagi peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada hari tersebut di buat ketika sebahagian ahli-ahli Parlimen sedang bersembahyang.
“Belah bahagian mesti ada niat baik. Apa yang berlaku pada hari itu adalah ketika ahli Parlimen sembahyang. Apabila kawan di sini (pembangkang) nampak Dewan sudah lengang, mereka datang berpusu-pusu minta belah bahagian .
“Apabila saya timbang semua ini, belah bahagian ini berniat tidak baik,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini menjawab usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43 yang diminta Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).
Minggu lepas, kerajaan menang tipis perbahasan Bajet 2018 pada peringkat jawatankuasa dengan satu undi di Dewan Rakyat berikutan timbul kekecohan selepas pembangkang cuba membuat undian ketika hanya beberapa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) hadir.
Dalam pengundian itu, seramai 52 ahli Parlimen menyokong bajet tersebut, 51 menolak dan dua wakil rakyat daripada PAS mengambil sikap berkecuali.
Gobind hari ini mempertikaikan proses undian tersebut dan mendakwa jumlah ahli Parlimen PH yang menolak bajet peringkat jawatankuasa KPDNKK adalah 52 orang bukan 51 seperti diumum sebelum ini. – 27 November, 2017.
Komen