KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan terhadap 30 ahli keluarga wanita hamil yang disahkan positif Covid-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri ke Kelantan baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut pihaknya mendapati 20 ahli keluarga yang melalui saringan dikesan negatif manakala 10 lagi masih menunggu keputusannya.
“Dari segi kontak rapat pula, kami akan lihat sama ada di tempat destinasi itu atau tempat asal di Ampang dengan menjalankan saringan, ” katanya pada sidang media harian hari ini.
Semalam, KKM mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu disahkan positif Covid-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak di Kuala Krai, Kelantan.
Sementara itu ditanya mengapa Malaysia tidak diberi harga subsidi untuk ubat antiviral Remdisivir, beliau berkata Malaysia adalah negara membangun yang tidak termasuk dalam voluntary license (lesen terkawal) ubat-ubatan.
Dr Noor Hisham berkata dengan situasi Covid-19, pada masa ini Malaysia dapat mengakses Remsidivir di bawah ujian klinikal solidariti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kami telah mula merekrut 12 pesakit di bawah percubaan Remdesivir, setakat ini 93 pesakit telah mendaftar di bawah kajian percubaan solidariti dan 12 daripada mereka telah diberi Remsidivir. Persoalannya ialah sama ada ubat ini berkesan mungkin kita harus mencari cara lain untuk mengakses ubat ini, bukan lesen terkawal tetapi cara lain,” katanya. – Bernama, 21 Mei, 2020.
Komen