Anwar sahkan rakaman bocor mesyuarat Pakatan


Ravin Palanisamy

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengesahkan rakaman audio mesyuarat terakhir PH yang bocor dan tular sejak beberapa hari lalu, adalah tulen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

ANWAR Ibrahim hari ini mengesahkan rakaman audio mesyuarat terakhir Pakatan Harapan (PH) yang bocor dan tular sejak beberapa hari lalu, adalah tulen.

Ketua pembangkang itu berkata beliau hadir pada mesyuarat itu di mana beberapa pemimpin PH yang lain turut mendengar perbalahan berkenaan kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Rakaman yang bocor itu adalah daripada mesyuarat majlis presiden PH pada 21 Februari. Ia juga mesyuarat terakhir pakatan itu sebelum Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, Bersatu keluar PH dan keruntuhan kerajaan.

Menerusi Facebook live hari ini, Anwar berkata kandungan rakaman audio itu adalah benar dan pemimpin tertentu daripada Bersatu dan beberapa “pengkhianat” daripada PKR tidak senang apabila topik peralihan kuasa dibangkitkan.

“Saya dengar rakaman audio itu dan sebagai orang ang turut hadir dalam mesyuarat itu, ia memang benar. Apa yang disuarakan dalam mesyuarat itu bukan palsu.

“Ia memang berlaku dan saya tidak fikir ia berlaku tanpa dirancang, tanpa seorang dalang kerana seperti kita tahu ia dibangkitkan kebanyakannya tentang kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beberapa individu yang mahu menangguhkan peralihan kuasa berkenaan berkata mereka mahu mempertahankan Dr Mahathir.

“Tetapi mereka dipanggil pengkhianat ada sebabnya. Tidak kira apa yang kita buat untuk cuba dan menangani keadaan itu, mereka tetap melakukan pengkhianatan.

“Rancangan mereka bukan untuk selamatkan Dr Mahathir, rancangan mereka ialah mengkhianati perjanjian PH supaya mereka boleh dapat jawatan.

“Mereka kata mahu pertahankan Dr Mahathir, tetapi saya tidak percaya mereka kerana saya kenal mereka sudah lama,” kata Anwar. – 21 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen