Kes Covid-19 di Peru cecah 100,000


Peningkatan kes Covid-19 di Peru diburukkan lagi dengan kekurangan peralatan perubatan di hospital awam. – Gambar EPA, 21 Mei, 2020.

PERU menjadi negara Amerika Latin kedua selepas Brazil mencecah 100,000 kes jangkitan Covid-19, kata Kementerian Kesihatan semalam.

Angka kematian akibat virus itu di negara itu juga melepasi 3,000.

Kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Peru naik tiga kali ganda sejak 30 April.

Peningkatan itu berlau meskipun Peru melaksanakan perintah berkurung selama sembilan minggu, sehingga menjejaskan ekonominya.

Kebanyakan kes dilaporkan di Lima yang mempunyai 32 juta penduduk.

Peningkatan kes diburukkan lagi dengan kekurangan peralatan perubatan di hospital-hospital awam.

“Ibarat filem seram,” kata Miguel Armas, jururawat di Hospital Hipolito Unanue di Lima.

“Banyak mayat di hospital, seperti kawasan perkuburan. Pesakit meninggal dunia sama ada sedang duduk atau atas kerusi roda.”

Armas dan kakitangan lain mengadakan bantahan semalam, menuntut peralatan yang jauh lebih baik di hospital itu.

Mengikut data terkini, seramai 7,500 pesakit Covid-19 dirawat di hospital. – AFP, 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen