SETIAP musibah ada hikmahnya. Barangkali musibah sebagai pengajaran Tuhan kepada manusia. Namun sebagai manusia, tidak dinafikan kita berfikir dan mempertanyakan tentang rahmat dan pertolongan Tuhan ketika musibah melanda pada hari ini.
Lantas kita bertanya, Tuhan di mana – ketika pandemik melanda di tengah krisis kemanusiaan, kezaliman, dan penindasan yang demi hari terjadi tatkala umat tidak lagi mahu bersatu.
Apakah Tuhan tidak lagi bersimpati nasib umat yang terpaksa bergolok gadai nyawa dan harta demi kelangsungan hidup ketika musibah ini?
Apakah petanda bahawa Tuhan tidak lagi berminat dalam urusan kehidupan manusia?
Adakah Tuhan bisu dan pekak sehingga tidak ada secebis kasihan? Di manakah sifat kasih Tuhan Maha Pemberi rahmat dan Maha Penyayang?
Persoalan skeptisme bermain dalam minda. Kadangkala menguji keimanan kita tentang kepercayaan, keyakinan dan keteguhan. Sementara dunia hampa dengan kebebasan, keamanan dan kemanusiaan. Doa jadi pilihan terakhir.
Fitrah insan
Musibah pandemik yang telah mengorbankan jutaan nyawa manusia meminta seakan Tuhan hadirkan nabi-nabi baharu di tengah krisis kemanusiaan yang melanda dunia. Umat berharap Tuhan dapat berfungsi sebagai Tuhan. Umat mahu Tuhan turunkan Nabi sebagai penawar bagi melenyapkan segala musibah yang melanda ini.
Sebagai Muslim, tidak salah mempersoalkan peranan Tuhan. Malah itu sebahagian fitrah insani. Bahkan persoalan itu telah diperdebatkan dalam tradisi Islam. Kerana itu, pertanyaan tersebut tidak salah.
Tuhan tidak akan sesekali marah dengan pertanyaan seolah skeptisme kerana itu tanda umat berfikir.
Musibah hari ini bukanlah ujian yang datang dari langit tanpa sebab dan musabab. Dari segi lain, sesuatu perilaku moral berkait dengan cara bagaimana memandang musibah tersebut.
Ada orang melihat musibah sesuatu yang bermanfaat. Manakala ada juga yang memandang musibah suatu kecelakaan. Demikian, cara pandang terhadap persoalan Tuhan, ianya akan membentuk moral dan tindakan kita sebagai hamba-Nya.
Justeru, kehampaan teologi, membengkokkan moral.
Misalnya, moral bermasalah sekiranya menganggap bahawa musibah sebagai takdir Tuhan yang tidak boleh diperlawankan. Kononnya, segala yang hadir dalam hidup ini adalah kemutlakan Tuhan tanpa wujudnya campur tangan manusia.
Cara berfikir begini seolah meletakkan Tuhan di tempat yang tidak adil dan zalim. Seolah Tuhan sengaja membiarkan umat hidup dalam penderitaan. Sekali gus mendakwa bahawa manusia tidak ada upaya mengubah ketentuan daripada Tuhan. Sebaliknya, harus reda menerima ketentuan musibah, kezaliman, kemiskinan, penindasan dan kerosakan tanpa berhak mengubah ketentuan takdir tersebut.
Dalam sejarah pendebatan tradisi Islam, cara fikir begini mirip daripada kelompok Jahmiyah atau pendiri aliran Jabariyyah.
Cara pandang ini bertentangan dengan ajaran Islam. Agama menuntut umatnya berusaha. Bukan menyalahkan kerja Tuhan.
Kesannya, Tuhan dilihat kejam terhadap nasib umat. Adakalanya Tuhan dilihat tidak berdaya untuk mengubah kerosakan yang melanda. Yang miskin terus menjadi miskin. Manakala, musibah terus merebak tanpa ada ikhtiar menghalangnya. Kemanusiaan dicabul tanpa ada pembelanya.
Inilah kesan jika umat beranggapan kemutlakan daripada Tuhan tanpa ada sebab campur tangan tindakan manusia. Dari segi lain, wahyu seolah tidak mampu mengubati krisis kemanusiaan dan musibah.
Umat gagal beramal dengan ajaran wahyu, tetapi Tuhan yang dipersalahkan. Ironi.
Demikian Tuhan dipersalahkan. Mereka mendakwa kesenyapan Tuhan atas bala ini bukti bahawa Tuhan telah mati seperti yang didakwakan sebahagian orang di Barat dek gagal mengenal Tuhan.
Akhirnya, manusia buang Tuhan dalam hidupnya dan bebas melakukan apa-apa sekali pun. Termasuklah kezaliman dan kerosakan alam atas nama agama.
Pilihan dan kebebasan
Sebenarnya Tuhan tidak begitu. Tuhan tidak lemah seperti yang disangkakan. Tuhan Maha Adil lagi Maha memberikan kebebasan kepada hamba-Nya untuk mengubah nasib hidup.
Tuhan tidak pekak dan bisu. Sebaliknya Tuhan memberi pilihan dan mendengar kehendak hamba-Nya. Terpulang sama ada mahu memilih menjaga alam dengan makmurnya atau sebaliknya.
Tuhan tidak pernah tidur. Dia Maha mengetahui setiap hamba-Nya dalam mengharungi musibah ini.
Tuhan tidak suka hamba-Nya yang malas berfikir dan melepaskan nasib takdir hidupnya sepenuh kepada-Nya seperti sikap kaum Jabariyyah. Sebaliknya, Tuhan mengembalikan kehendak dan kebebasan berfikir dan bertindak kepada manusia.
Justeru, kudrat dinisbatkan untuk manusia dengan berkuasa menciptakan perbuatan itu daripada kudratnya. Dia bebas melakukan atau menidakkan. Dia berhak menentukan pilihan sama ada mahu memilih yang bermanfaat atau sebaliknya.
Seperti pandangan Ibn Rushd (1126-1198 M) bahawa iradah (kehendak) dikembalikan kepada pilihan manusia kemudian memulangkan perbuatan itu kepada ketentuan Tuhan.
Malangnya, sebahagian manusia tidak berdaya memanfaatkan pilihan moral ke atas pilihan kebebasan yang terdapat dalam dirinya. Akhirnya mengembalikan kebebasan tersebut kepada Tuhan secara mutlak tanpa usaha yang hakiki daripada manusia – akal, kemampuan dan kebebasan.
Sedangkan, hal inilah yang patut disedari oleh setiap Muslim tentang tanggungjawabnya (taklif) sebagai khalifah dalam mentadbir bumi dengan menyebarkan risalah cinta Tuhan seperti menjaga kemakmuran alam sekitar, menjaga tali persaudaraan, dan membantu orang dalam kesusahan ketika musibah.
Barangkali bencana pandemik ini terjadi kerana sikap manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap alam dan nasib kemanusiaan di muka bumi ini. Mereka gagal menggunakan nikmat akal dan kebebasan pemberian Tuhan.
Sekiranya mereka memaknai ketauhidan yang universal, tidak akan timbul skeptisme terhadap Tuhan sedangkan kebebasan dan pilihan sudah tertakluk dalam diri dan moral seseorang itu.
Tuhan tidak zalim
Tuhan tidak sesekali menzalimi hamba-Nya seperti membiarkan mereka menderita dalam musibah. Di sebalik penderitaan terselit rahmat Tuhan yang kita tidak terfikir dan ternampak sekalipun. Walhal umat yang memilih untuk menzalimi diri mereka sendiri.
Seperti kisah Musa dan Firaun. Kisah yang membuktikan Tuhan memberi pilihan kepada manusia untuk campur tangan dalam penciptaan. Manusia diberi pilihan mengubah musibah. Tidak logik jika Tuhan yang menciptakan Firaun seorang yang zalim dan Dialah jua yang mencampakkan Firaun ke dalam neraka.
Tidakkah zalim Tuhan, jika begitu yang difahami oleh fahaman Jabariyyah ini?
Sebaliknya, Tuhan mengutuskan Musa untuk mengubah takdir Firaun. Firman Allah kepada Musa: Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia itu melampaui batas, maka katakanlah: “Mahukah engkau mensucikan dan membersihkan dirimu dan aku tunjukkanmu kepada Tuhanmu, maka engkau akan menaruh kegerunan, maka Firaun memperlihatkan kepadanya tanda yang besar, lantas dia (Firaun) mendustakan dan mengingkari, kemudian Firaun berpaling seraya berkata: “Akulah Tuhanmu yang maha tinggi.”
Sekiranya Tuhan mahu sesatkan Firaun, lalu mengapa Tuhan mengirimkan Musa kepada Firaun?! Ayat Quran menyebut “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (13: 11)
Demikian akibat terpenjara dalam fahaman taklif yang sempit sekali gus buta melihat betapa Tuhan Maha Adil dan rahmat terhadap umat. Maka kitalah yang perlu menampakkan nabi-nabi baharu dengan cara menghidupkan tajalli Tuhan di tengah musibah ini.
Jadi apakah Tuhan masih lagi dianggap zalim?
Meskipun banyak persoalan yang bermain dalam fikiran, kadangkala Tuhan itu terlalu misteri untuk difikirkan demi kepuasan tuntutan fikiran kita. Sehingga kita tidak tahu apakah rahmat yang Dia mahu berikan di sebalik setiap musibah yang terjadi hari ini.
Sebagai Muslim, kita harus berfikir dan merefleksikan setiap musibah itu sebagai rahsia ketuhanan dan tanda peringatan bahawa Dia mahu umat berubah menjadi manusia yang peka kepada alam, kemanusiaan dan kedamaian – moral
Musibah yang melanda ini, kita harus merenungi dosa dan sikap kita selama ini.
Kerana kita hidup di zaman keinsafan dan refleksi akal rasional! – 21 Mei, 2020.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen