TINDAKAN wakil rakyat khianat dengan melompat parti untuk mencatur kerusi bagi membentuk kerajaan jangan sampai jadi trend dalam politik Malaysia, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Katanya, dalam sistem demokrasi, kerajaan mestilah dibentuk selepas dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
“Saya bimbang perkembangan ini tidak akan suburkan demokrasi di Malaysia sebab gerakan ahli Parlimen boleh ubah kerajaan, di Melaka, di Johor, di Perak, di Kedah, tanpa melalui pilihan raya
“Oleh itu, bagi saya mengembalikan mandat rakyat adalah agenda paling penting untuk kita memulihkan demokrasi.
“Pengkhianatan yang berlaku terhadap Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim kalau dibiarkan akan berlaku pengkhianatan yang lain pada masa akan datang,” katanya menerusi ucapan Bicara Presiden yang dimuat naik di laman Facebook Amanah, hari ini.
Mohamad bimbang apa yang berlaku sejak hujung Februari lalu, yang masih berterusan sehingga menyebabkan kerajaan bertukar di Kedah minggu lalu, akan mengecewakan pengundi terutama dari luar negara yang berkorban wang dan masa membuat perubahan dalam pilihan raya umum yang lalu.
Pada hujung Februari lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar daripada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).
Tindakannya dibantah oleh Dr Mahathir, yang juga pengerusi parti, yang menolak kerjasama dengan Umno kerana parti itu terpalit rasuah.
Gabungan baharu Bersatu bersama Barisan Nasional, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak itu mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri, dan kemudiannya menukar pula kerajaan di empat negeri.
Susulan perkembangan itu, beberapa pihak mencadangkan agar undang-undang dipinda melarang wakil rakyat bertukar parti walaupun pada masa ini, kebebasan berpersatuan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga bekas menteri pertahanan kecewa dengan Muhyiddin kerana sanggup melanggar perjanjian dalam PH dan mengkhianati pengerusi partinya sendiri, Dr Mahathir.
Menurut Mohamad, beliau tiada masalah peribadi dengan Muhyiddin sebaliknya hormatkan beliau sebagai pemimpin berpengalaman, yang selalu juga dijadikan rujukan dalam kabinet.
“Saya tiada masalah peribadi dengan Muhyiddin. Saya hormat dia sebagai pemimpin berpengalaman.
“Saya tak sangka orang yang baik seperti ini akhirnya boleh menolak ketuanya sendiri,” katanya.
PH kini dianggotai oleh PKR, Amanah, dan DAP, manakala Bersatu berpecah antara kem yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin. – 20 Mei, 2020.
Komen