NBOS bantu jimat perbelanjaan pembangunan RM2 bilion, kata Najib


Amin Iskandar

Perdana Menteri Najib Razak berkata strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 November, 2017.

STRATEGI Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif, kata Menteri Kewangan Najib Razak.

Beliau yang juga perdana menteri berkata contoh terbaik ialah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang merupakan pusat sehenti (One Stop Center) bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

“Pada masa ini, terdapat 20 UTC di seluruh negara dengan penjimatan pembangunan sebanyak RM2 bilion.

“Memandangkan UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada serta tempoh pelaksanaan yang pantas secara purata selama 10 minggu,” kata Najib menjawab soalan Juslie Ajirol (BN-Libaran) dalam Dewan Rakyat hari ini.

Juslie bertanya tentang perbelanjaan kerajaan yang berjaya dioptimumkan dan memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif hasil pelaksanaan NBOS.

Najib berkata sambutan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan UTC amat menggalakkan.

“Di mana sejak 2013, UTC memberi perkhidmatan kepada lebih daripada 54 juta orang pengunjung,” katanya.

Beliau berkata melalui NBOS, kerajaan dapat melaksanakan dasar-dasar negara dengan lebih efektif serta kos lebih rendah berbanding cara konvensional.

“Contohnya melalui program kerjasama pasukan Polis-Tentera (Police-Military Collaboration) yang mana pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif antara polis dan tentera, mampu menangani sebarang anasir yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara pada masa hadapan.

“Melalui kerjasama NBOS ini juga, pasukan polis misalnya boleh menggunakan fasiliti pasukan tentera bagi tujuan latihan rondaan bersama di kawasan hot spot,” katanya. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen