7 bank terpilih salur dana bantuan Covid-19 untuk PKS Sarawak


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian antara Pengarah Wilayah Maybank untuk Sarawak, Nasir Khan (kanan) dengan Setiausaha Tetap Mintred, Liaw Soon Eng. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

DANA bantuan khas Sarawak bernilai RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka mengurangkan kesan Covid-19 terhadap perniagaan akan dikeluarkan melalui tujuh bank.

Tujuh bank yang mengambil bahagian adalah Maybank, Hong Leong Bank, RHB Bank, CIMB Bank, Public Bank, Bank Muamalat dan SME Bank.

Kesemua bank bertukar memorandum perjanjian dengan kerajaan negeri hari ini yang disaksikan oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Di bawah perjanjian itu, kerajaan Sarawak akan menyerap kos faedah bagi pinjaman 3 1/2 tahun.

Dana bertujuan memberi kemudahan pinjaman mudah tanpa faedah, diperuntukkan di bawah pakej bantuan ekonomi kedua Bantuan Khas Sayang Sarawak (BKSS) yang dilancarkan pada 10 April.

Pinjaman diberi dengan syarat pembiayaan yang mudah, antara RM20,000 hingga RM500,000 dan boleh digunakan sebagai modal kerja untuk pembayaran gaji.

Tiada cagaran diperlukan dan syarikat tersebut termasuk pemilik tunggal, perkongsian atau syarikat berhad (Sdn Bhd).

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan dalam taklimatnya kepada media berkata implikasi kewangan terhadap subsidi kadar faedah adalah sekitar RM80.7 juta.

Beliau berkata, 40,000 PKS di negeri ini dibantu untuk mengharungi keadaan ketidaktentuan ekonomi memandangkan kerajaan mengiktiraf mereka sebagai pemacu utama dan tulang belakang kepada ekonomi negeri, memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk Sarawak.

“PKS merangkumi lebih 75% sektor perniagaan kami, menyumbang 20% ​​kepada KDNK Sarawak dan menyediakan kira-kira 600,000 pekerjaan.”

Di bawah pakej bantuan ekonomi kedua (BKSS 2.0), PKS juga dibantu dengan pengecualian sewa, terutama sektor runcit di premis milik syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

“Ini sebagai tambahan kepada langkah lain yang memenuhi syarat bagi individu dan perniagaan seperti penangguhan pembayaran premium pinjaman dan tanah; dan potongan harga bil utiliti, kadar penilaian tahunan dan sewa tanah yang diumumkan dalam BKSS 1.0,” kata Awang Tengah, yang juga menteri pembangunan usahawan.

Satu daripada kriteria kelayakan adalah syarikat mesti menjadi entiti berdaftar dan perlu mematuhi definisi Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan berhubung status “PKS”.

Awang Tengah berkata, PKS yang layak boleh memohon pinjaman secara langsung dari mana-mana cawangan tujuh bank dan PKS mempunyai pilihan untuk memohon pinjaman Islam atau konvensional.

Kerajaan Sarawak melancarkan tiga pakej bantuan ekonomi khas berjumlah RM2.25 bilion untuk membantu penduduk dan perniagaan di Sarawak mengatasi kesukaran dan kerugian yang disebabkan oleh sekatan pergerakan bagi membendung penyebaran jangkitan Covid-19.

Pakej pertama (BKSS 1.0) diumumkan pada 23 Mac, yang kedua pada 10 April dan yang ketiga pada 8 Mei. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen