Pelajar di Korea Selatan mula kembali ke sekolah 


Pelajar berbaris untuk diperiksa suhu badan di Sekolah Tinggi Kyungbock di Seoul, Korea Selatan, pada 20 Mei 2020. Mereka kembali ke sekolah selepas ditutup kerana wabak koronavirus. – Gambar EPA, 20 Mei, 2020.

RATUSAN ribu pelajar Korea Selatan kembali ke sekolah pada Rabu apabila institusi pendidikan mula dibuka semula selepas ditangguh lebih dua bulan susulan koronavirus.

Pelajar berbaris untuk diperiksa suhu badan dan diberi cecair pembersih untuk mencuci tangan ketika memasuki premis sekolah sementara guru menyambut mereka dengan senyuman.

“Sangat menggembirakan bertemu rakan dan guru saya secara berhadapan, tetapi kita harus mematuhi garis panduan pembasmian kuman dengan ketat,” kata Oh Chang-hwa, presiden pelajar Sekolah Tinggi Kyungbock di Seoul.

“Saya sangat risau tetapi tetap gembira bertemua mereka semula,” kata Oh kepada AFP.

Korea Selatan antara negara paling awal dilanda pandemik di luar China yang mendorong pegawai menangguhkan pembukaan semula sekolah pada awal Mac.

Tetapi nampaknya ia berjaya mengawal wabak dengan pelaksanaan program “jejak, uji dan rawat” yang meluas.

Kira-kira 440,000 pelajar tahun akhir, yang pada Disember akan mengambil peperiksaan penting untuk memasuki universiti, menjadi kumpulan pertama kembali ke sekolah, dengan pelajar tahap lain mengikuti secara berperingkat selama beberapa minggu akan datang.

Di dalam bangunan sekolah, para pelajar diminta membersihkan meja mereka dan duduk dengan jarak sosial, dengan beberapa kelas meletakkan pemisah antara meja.

“Kebimbangan mengenai kluster jangkitan kecil masih ada dan tidak ada yang dapat meramalkan keadaan yang akan timbul di sekolah,” kata menteri pendidikan Yoo Eun-hae.

Kementerian pendidikan mula menjalankan operasi bilik situasi kecemasan 24 jam minggu ini, kata Yoo, dan menambah mana-mana sekolah yang melaporkan jangkitan baru akan ditutup serta merta.

Walaupun pelajar tahun akhir diminta datang ke sekolah setiap hari, murid yang lebih muda akan bergilir antara kelas dalam talian dan luar talian untuk memastikan bangunan sekolah tidak sesak. – AFP, 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen