DUA kerajaan sebelum ini mengecewakannya dan sekarang Susanna Liew, isteri Pastor Raymond Koh yang hilang, berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menepati janji kepadanya tahun lalu ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.
“Beliau berjanji akan mencari jawapan kehilangnya suami saya. Beliau berjanji akan mendedahkan dan membawa ke muka pengadilan semua individu yang bertanggung jawab terhadap penculikan itu,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi setakat ini tiada apa-apa. Sekarang sebagai perdana menteri, saya harap beliau akan menunaikan janjinya kepada saya.”
Liew berkata beliau secara peribadi bertemu Muhyiddin tahun lalu yang ketika itu memegang jawatan menteri dalam negeri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mahukan keadilan bagi suaminya selepas siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan Koh diculik oleh Cawangan Khas di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman.
Siasatan Suhakam menyimpulkan Koh, bersama aktivis Perlis, Amri Che Mat, adalah mangsa kehilangan paksa.
(Dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kehilangan paksa berlaku apabila seseorang secara diam-diam diculik atau dipenjarakan oleh negara atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan izin, sokongan, atau persetujuan negara atau organisasi politik, diikuti dengan penolakan untuk mengakui nasib dan keberadaan orang itu, dengan tujuan menempatkan mangsa di luar perlindungan undang-undang).
“Beliau tidak menepati janjinya ketika itu. Saya merayu kepada Muhiyiddin sekarang, untuk melakukan apa yang sewajarnya. Harap anda menepati janji dengan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” kata Liew.
Keluarga Koh tidak putus asa sejak beliau diculik pada 2017, dan mendesak kerajaan bagi jawaban dan keadilan. Beliua juga menyatakan kekecewaannya dengan pentadbiran PH sebelum ini kerana gagal.
“Mereka ada peluang, tetapi tiada tindakan konkrit dilakukan. Saya berjumpa (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad dan (bekas menteri dalam negeri) Muhyiddin tetapi tidak banyak yang dilakukan mereka.”
Beliau juga mengeluh tiada maklumat terkini dan sebarang berita daripada pasukan khas yang ditubuhkan tahun lalu untuk menyiasat kehilangan Koh dan Amri.
“Muhiyiddin menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kehilangan mereka dan mengeluarkan laporan.
“Jadi, di mana laporannya? Semua nama hebat berada dalam pasukan petugas khas, tetapi tiada hasil dan maklumat terkini.”
Kali terakhir Muhyiddin bercakap mengenai pasukan petugas adalah pada 16 Januari ketika beliau dilaporkan berkata ia memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan tugasnya.
Beliau berkata kementerian bersetuju dengan lanjutan itu sambil menambah ketua pasukan petugas khas Abd Rahim Uda meminta lebih dari sebulan untuk menyelesaikan tugas mereka.
Mencari keadilan
Liew mengemukakan saman sivil pada Februari yang meminta “ganti rugi khas dan umum” sebagai jalan terakhir selepas gagal menerima sebarang hasil siasatan mengenai kehilangan suaminya.
Beliau menamakan bekas ketua polis negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun dan Khalid Abu Bakar dan KPN Abdul Hamid Bador sebagai defendan.
“Tiada pilihan selain memfailkan saman undang-undang untuk mengetahui hal sebenar yang terjadi,” katanya.
Peguam keluarga Koh, Michelle Wong berkata saman sivil itu difailkan pada 11 Februari dan selepas tiga lanjutan oleh defendan untuk mengemukakan hujah pembelaan, pengurusan kes berikutnya dijadualkan pada 30 Jun.
“Mahkamah mengarahkan ini adalah lanjutan terakhir dan sebarang lanjutan lain akan dilakukan dengan permohonan rasmi di depan hakim.”
Koh diculik pada 13 Februari 2017. Laporan polis terhadap beliau dibuat beberapa bulan kemudian kerana didakwa cuba memurtadkan beberapa belia Islam.
Amri diculik pada 24 November 2016. Semasa siasatan, didapati beliau, pada saat penculikannya, berada di bawah pengawasan polis kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan Syiah. – 20 Mei, 2020.
Komen