PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju untuk memulakan siasatan berkenaan reaksi terhadap koronavirus, selepas Beijing menuduh Washington mengabaikan tanggungjawab, susulan ugutan Presiden Donald Trump untuk meninggalkan agensi naungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata isu membabitkan Covid-19 menjadi keutamaan, memandangkan virus itu menyebabkan jumlah kematian yang besar dan kemelut ekonomi.
Jumlah kematian di beberapa kawasan terus meningkat, dengan Britain mendedahkan lebih 41,000 pesakit Covid-19 di negaranya meninggal dunia.
Beberapa bahagian lain dunia juga mula merasa penularan sepenuhnya pandemik itu seperti Amerika Latin, yang menyaksikan Brazil mengatasi Britain, untuk muncul sebagai negara dengan jumlah jangkitan ketiga tertinggi dunia, iaitu 255,000 kes.
Tertekan dengan jumlah kematian dan kes jangkitan yang mengatasi negara lain, Trump kemudian berkali-kali menuduh WHO menjadi boneka Beijing dan gagal bertindak sewajarnya untuk memerangi penularan Covid-19 di peringkat awal.
Pada Isnin, Trump mengugut untuk membekukan selamanya bantuan Amerika Syarikat (AS) ke atas badan dunia itu.
Beijing menjawab tuduhan berkenaan, dan berkata Trump cuba mencemarkan nama baik China serta memusnahkan WHO demi kepentingan politik peribadi.
Rusia turut mengecam ugutan Trump itu. – AFP, 20 Mei, 2020.
Komen