DANA kempen Pilihan Raya Umum ke-14 Invoke Malaysia (Invoke) kepada calon Pakatan Harapan (PH) bukan strategi mahu meluaskan pengaruh peribadi dalam PKR sebaliknya semata-mata hendak memastikan pembangkang mengalahkan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
“Tidak betul sebenarnya (dakwaan) pengaruh saya jauh lebih kuat dengan adanya Invoke.
“Itulah masalah manusia… dia tak nak buat kerja, dia sibuk spekulasi, kerana dalam parti setiap langkah itu boleh diterjemahkan sebagai langkah politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Invoke minggu lalu memeterai aku janji dengan 30 calon pilihan raya melibatkan 20 ahli PKR, sembilan Amanah dan seorang PAS. Melalui aku janji itu, Invoke menawarkan dana untuk kempen PRU14 manakala calon itu mengisytiharkan pegangan harta mereka.
Rafizi berkata perisytiharan harta itu sepatutnya sudah lama dibuat oleh PH.
“Dan saya memang ancaman pada semua orang akibatnya berpuluh tahun benda yang patut (dibuat), akhirnya tidak terbuat,” katanya, menyindir.
“Pengisytiharan harta ini merupakan perbahasan tidak berkesudahan dalam parti politik jadi saya bagi platform kepada calon yang betul bersih kerana mereka tak boleh tunggu keputusan parti (untuk mengisytiharkan harta).
“Kerana itu apabila Invoke tawar kepada mereka (untuk isytihar harta), mereka setuju,” katanya.
Invoke yang diasaskan oleh Rafizi, adalah sebuah badan sukarelawan politik yang melakukan kajian data besar serta mengumpulkan dana untuk pilihan raya. Ia kini mempunyai 14,000 sukarelawan, majoritinya anak muda.
Sejak beberapa bulan lalu, Invoke mengadakan siri ceramah “Jom Bina Semula Negara” di kawasan kerusi marginal di seluruh negara.
Bahan kempen PRU14
Rafizi berkata dengan perisytiharan harta tersebut Invoke akan membantu 30 calon PH berkenaan berkempen dalam PRU14 dengan mengumpulkan dana kempen untuk mereka.
Di bawah aku janji itu, Invoke akan menyediakan RM20,000 untuk calon kerusi Parlimen dan RM10,000 untuk calon kerusi negeri.
Rafizi berkata dana itu bagaimanapun bukan diberi secara tunai sebaliknya dalam bentuk bahan kempen termasuk klip video dan sumber tenaga untuk jentera pilihan raya.
Katanya, calon berkenaan tidak lagi perlu sibuk memikirkan bahan kempen kerana semuanya akan disediakan oleh Invoke.
“Kita akan pastikan maklumat sampai pada pengundi atas pagar kerana kami boleh kenal pasti, kerana kami menganalisis (data).”
Rafizi berkata Invoke kini menghimpunkan dana kempen daripada majlis makan malam, sumbangan orang ramai dan jualan barangan termasuk kemeja T.
Jumlah yang dapat dikumpulkan pula bergantung kepada saluran, misalnya majlis makan malam boleh mengutip sehingga RM400,000 manakala derma orang ramai pernah mengumpulkan RM2 juta dalam masa sebulan, tambahnya.
“Kalau kita bagi wang pada ahli politik, tak tentu dia akan guna untuk perkara sepatutnya.
“Sebab itu rakyat tak percaya nak bagi wang kepada ahli politik. Dengan adanya Invoke, oleh kerana kami sudah tunjuk kebolehan dan kemampuan dari segi teknologi dan capaian, jadi orang yakin,” katanya.
Elak rasuah
Rafizi mengaku pendekatan Invoke ini suatu langkah berbeza dan pertama kali dibuat di Malaysia kerana lazimnya parti politik yang terpaksa mengumpulkan dana untuk membiayai calonnya dalam pilihan raya.
Katanya, kebergantungan calon kepada parti politik akan membuka ruang kepada amalan rasuah sekiranya mereka mencari dana sendiri dan boleh jadi risiko kepada pembangkang kerana dana yang diperlukan adalah besar.
Beliau menjangkakan bagi parti seperti PKR dan Amanah, dana yang diperlukan untuk pilihan raya dalam anggaran RM10 hingga RM15 juta.
Atas kesedaran itulah, katanya beliau menggerakkan Invoke sebagai badan sukarelawan yang “tidak nampak kepartian”.
“Maka kita buat Invoke kerana saya tak perlukan dana… saya tak bertanding pun. Jadi sangat merugikan kalau pengaruh saya ada di peringkat media sosial, daripada segi isu yang suarakan, saya tak buat benda ini,” katanya.
Rafizi berdepan kemungkinan hilang kelayakan bertanding pilihan raya selepas Mahkamah Tinggi baru-baru ini mengekalkan hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki dan mendedahkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kes itu kini di peringkat di Mahkamah Rayuan. – 27 November, 2017.
Komen