China tawar wang tunai kepada penternak untuk henti jual hidupan liar


Pasar borong makanan laut Huanan yang dikaitkan dengan koronavirus. Ia menjual pelbagai hidupan liar eksotik yang menjadi kegemaran masyarakat Cina di situ. – Gambar EPA, 19 Mei, 2020.

PENTERNAK di China ditawarkan wang tunai agar berhenti membela binatang eksotik ketika desakan menghentikan jualan hidupan liar semakin memuncak selepas dipersalahkan kerana tersebarnya koronavirus.

Pihak berkuasa buat pertama kalinya berjanji membeli ternakan dalam usaha mengekang amalan ini, kata aktivis haiwan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China melarang penjualan hidupan liar untuk makanan, dengan alasan risiko penyakit merebak kepada manusia, tetapi penjualan sah bagi tujuan lain termasuk penyelidikan dan perubatan tradisional.

Koronavirus yang membawa maut itu - pertama kali dilaporkan di bandar Wuhan di China tengah - dipercayai secara meluas berjangkit daripada kelelawar kepada manusia sebelum tersebar ke seluruh dunia.

Dua pusat wilayah menggariskan perincian program pembelian bagi membantu petani beralih kepada mata pencarian alternatif.

Hunan pada Jumaat menetapkan skema pampasan bagi meyakinkan penternak untuk memelihara binatang lain atau menghasilkan teh atau ubat-ubatan herba.

Pihak berkuasa menawarkan 120 yuan (AS$16) bagi sekilo ular senduk, ular orok-orok atau ular tikus, sementara 1kg tikus buluh akan dibayar sebanyak 75 yuan.

Seekor musang - haiwan yang dipercayai pembawa Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) kepada manusia dalam wabak koronavirus lain hampir dua dekad yang lalu - bernilai 600 yuan.

Wilayah Jiangxi yang berjiran juga mengeluarkan dokumen mengenai rancangan membantu petani menghapuskan haiwan dan bantuan kewangan.

Akhbar Jiangxi Daily yang dikendalikan oleh kerajaan melaporkan minggu lalu, wilayah itu mempunyai lebih 2,300 penternak berlesen, yang kebanyakannya memelihara binatang liar sebagai makanan.

Haiwan mereka bernilai sekitar 1.6 bilion yuan (AS$225 juta), kata laporan itu.

Jiangxi dan Hunan yang bersempadan dengan Hubei, wilayah yang menyaksikan koronavirus pertama kali muncul pada Disember.

Kumpulan aktivis haiwan Humane Society International (HSI) berkata Hunan dan Jiangxi adalah “wilayah pembiakan hidupan liar utama”, dengan Jiangxi melihat pengembangan perdagangan yang pesat selama satu dekad terakhir.

Hasil pendapatan daripada pembiakan mencapai 10 bilion yuan pada 2018, katanya.

Pakar polisi HSI China, Peter Li memberitahu AFP yang rancangan serupa sepatutnya dilancarkan di seluruh negara.

Tetapi beliau berkata cadangan Hunan masih memberi ruang kepada petani untuk terus membiakkan haiwan eksotik selagi ia tidak dihantar ke pasar makanan.

Perancangan itu tidak termasuk binatang liar yang dibiakkan untuk bulu, perubatan tradisional atau hiburan Cina.

“Dalam 20 tahun terakhir, ramai menyuruh kerajaan China untuk membeli operasi pembiakan hidupan liar tertentu, misalnya pembiakan beruang,” katanya dan ini pertama kali kerajaan China memutuskan untuk melakukannya. – AFP, 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen