Ancaman Syiah di Asean lebih bahaya berbanding IS


Sheridan Mahavera

Pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor Dr Hafiz Basir berkata pada pandangannya IS hanya koleksi sel bebas dengan sokongan kewangan yang kecil, berbanding Syiah yang disokong Iran dan Hezbollah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 November, 2017.

ISLAM Syiah masih menjadi ancaman terbesar kepada umat Islam Sunni di wilayah ini, jika dibandingkan dengan kumpulan militan IS, kata sarjana di satu persidangan di Kuala Lumpur semalam.

Sarjana Malaysia, Dr Hafiz Basir memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau menganggap Islam Syiah lebih berbahaya kerana ia disokong oleh Iran dan Hezbollah, parti utama Lubnan.

“IS hanya koleksi sel bebas dengan sokongan kewangan yang kecil. Dan semua negara memerangi IS,” kata pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu ketika ditemui di Persidangan Khayr Ummah 2017.

“Tetapi tidak ada negara Islam yang menentang Syiah. Jadi pada saya, Syiah ancaman yang lebih besar.”

Seorang pemimpin Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata di persidangan itu kedua-dua Islam Syiah dan IS sama bahaya kepada wilayah ini.

“Syiah ancaman kepada kesucian agama itu sendiri. ajaran mereka bertentangan dengan Islam Sunni. Sementara IS bahaya kerana mereka guna senjata dan bunuh orang,” kata Puad yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Jadi kesannya sama, ia memecahkan masyarakat Islam. Itu sebabnya persidangan ini penting untuk membawa bersama umat Islam di Asean.”

Peserta dari negara Timur Tengah mendengar perbincangan sarjana pada Persidangan Khayr Ummah 2017 di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 November, 2017.

Persidangan itu ditaja oleh Jasa, NGO tempatan Ilmu Al khaadem, UiTM dan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi.

Pengikut Islam Syiah membentuk kira-kira 10% hingga 20% daripada 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Pada persidangan itu, seorang lagi ahli akademik Prof Rahmat Mohamad berkata serangan keganasan besar seperti pengeboman di Bali pada 2002, JW Marriot di Jakarta pada 2009 dilakukan oleh pengganas Islam Sunni.

Kejadian pengepungan bandar Marawi di Filipina baru-baru ini juga dilakukan oleh militan Islam Sunni.

Sementara itu, sarjana Jordan, Syaikh Abdullah al-Luhaidan mendakwa matlamat Islam Syiah ialah melemahkan negara Islam Sunni di seluruh dunia menerusi kuasa lembut dan dengan menyokong militan di tanah air sendiri.

“Pengikut Syiah mahu memecahkan perpaduan kalangan Sunni. Mereka dakwa mereka mahu bebaskan Palestin, tetapi itu semua tidak benar,” katanya kepada panel membincangkan tentang “kumpulan ekstremis yang memecahkan perpaduan masyarakat Islam”.

Syaikh Abdullah menuduh Iran, di mana Syiah sangat kuat, mendanai kumpulan pengganas seperti IS dan Al-Qaeda.

Pakar hal ehwal global berkata Iran tersepit dalam pertempuran dengan blok negara Teluk yang diketuai Arab Saudi untuk mendominasi Timur Tengah.

Perang saudara di Syria dan Yaman, ketidakstabilan politik di Luban dan krisis diplomatik Qatar antara simptom pergelutan yang masih berterusan untuk mendominasi wilayah itu.

Dua hari lalu, Arab Saudi dan sekutunya Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu dan Mesir mengisytiharkan persatuan sarjana Islam terkemuka berpangkalan di Qatar, sebagai kumpulan pengganas.

Kesatuan Sarjana Islam Antarabangsa (IUMS), dikatakan menghubungkan 90,000 sarjana Islam di seluruh dunia dan menyasarkan untuk menjadi jambatan antara Sunni dan Syiah yang berpecah. Presiden PAS Abdul Hadi Awang ialah naib presiden IUMS. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen