SELEPAS 30 tahun bekerja di sebuah syarikat penerbitan tempatan di Kota Kinabalu, Matzin Ramli, 54, sudah berputus asa untuk membeli rumah di ibu negeri Sabah itu.
Matzin bersama isteri dan empat anak tinggal di rumah pangsa perumahan kerajaan dengan keluasan 600 kaki persegi, dan mereka adalah antara ribuan rakyat pedalaman Sabah yang berhijrah ke bandar mencari pekerjaan sejak 1990-an.
“Saya memang teringin hendak beli rumah. Tetapi memilikinya di luar kemampuan saya. Saya cuba memohon pinjaman sebanyak dua kali. Sekali pada 2000, kemudian sekali lagi 2005, tetapi kedua-duanya kata saya tidak layak dapat pinjaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rumah Pangsa Tanjung Aru di mana Matzin bersama kira-kira 1,700 orang lagi tinggal ialah rumah milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan ia rumah pangsa kos rendah tertua di negeri itu.
Sabah mempunyai perumahan PPR kerajaan paling banyak di negara ini, dengan 26,199 unit rumah kos rendah dibina setakat ini.
Tetapi sama seperti Matzin, anak lelakinya yang kini sudah dewasa mungkin tidak dapat menikmati perumahan kerajaan kerana kebanyakan unit sudah pun didiami ratusan ribu bekas penduduk perkampungan setinggan atau kampung air di seluruh Sabah.
Ia susulan program kerajaan negeri yang masih berterusan untuk mencapai sasaran setinggan sifar menjelang 2020.
Peluang mereka semakin tipis kerana sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 18,538 permohonan untuk rumah PPR pada masa ini dalam senarai menunggu di Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan.
“Anak perempuan sulung saya baru saja pindah untuk tinggal di rumah suaminya. Sekarang hanya ada saya, isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan yang masih bersekolah.
“Termasuk gaji anak-anak lelaki saya, seorang kerja pengawal keselamatan dan seorang lagi pekerja am, mereka hanya dapat gaji minimum. Pendapatan isi rumah saya masih tidak capai RM4,000,” katanya.
Pada 2014, LPPB juga menyemak semula sewa untuk semua unitnya daripada RM150 kepada RM170 sebulan.
Matzin dan anak-anak lelakinya berkongsi nasib dengan ramai lagi rakyat Sabah berhubung isu perumahan.
Ramai golongan muda di Sabah yang tidak mampu memiliki rumah pada kadar harga RM250,000 hingga RM350,000, malah membeli rumah kos rendah juga tidak lepas.
Kesannya ialah purata golongan dewasa di Sabah masih tinggal di rumah ibu bapa mereka sehingga usia 30-an.
Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah Ronnie Ang berkata skala gaji di Sabah terlalu rendah untuk membolehkan rakyat membeli rumah sendiri.
Gaji minimum di Sabah dan Sarawak ialah RM920 sebulan. Gaji minimum bagi pekerja di Semenanjung Malaysia ialah RM1,000 sebulan.
“Kebanyakan mereka turut terbeban dengan komitmen lain seperti bayaran ansuran kenderaan dan telefon bimbit, itu sebabnya permohonan pinjaman rumah ditolak,” katanya.
Sementara pemaju menikmati kadar tempahan yang baik daripada bakal pembeli rumah, kemungkinan pinjaman ditolak juga setinggi 80%, kata Ang.
“Semua cawangan bank di Sabah hanya bertindak sebagai pusat rekomendasi sementara kelulusan pinjaman bergantung pada keputusan ibu pejabat bank di Kuala Lumpur.
“Saya ia agak tidak adil kerana kebanyakan pegawai di semenanjung tidak tahu sangat tentang keadaan di Sabah,” katanya.
Di bawah skim Myhome di negeri itu, pembeli rumah kali pertama diberikan insentif RM30,000 untuk membayar deposit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kinsabina Group Francis Goh yang terbabit dalam projek Myhome untuk membina pangsapuri Timbok Jaya berhampiran Tuaran, berkata walaupun banyak tempahan diterima bagi rumah itu yang berharga antara RM220,000 dan RM250,000 – kadar pinjaman ditolak juga sama banyak.
“Saya boleh terima 600 tempahan untuk 1,200 unit rumah di Timbok Jaya, tetapi malangnya permohonan pinjaman 95% daripada mereka ditolak.
“Ada juga antara mereka yang menanggung hutang terlalu banyak,” kata Goh.
Matzin sendiri berdepan masalah sama. Kali pertama permohonan pinjamannya ditolak ketika hendak membeli rumah di Kinarut pada harga RM260,000 dan kali kedua di Ketiau, Putatan untuk rumah harga RM300,000.
“Saya ingat lagi ketika ke bank, dan pegawai itu melihat permohonan saya, slip gaji saya. Dia terus beritahu saya peluang dapat pinjaman sangat nipis.”
Selepas diberitahu benda sama dua kali, Matzin buat keputusan mengakhiri semua cita-citanya untuk memiliki sebuah rumah. – 27 November, 2017.
Komen