PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengugut akan membekukan terus dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jika tiada “penambahbaikan substantif” dibuat untuk menangani pandemik Covid-19 dalam tempoh 30 hari.
AS pada pertengahan April menggantung dana dan menuduh pertubuhan itu berat sebelah terhadap China dan gagal menangani penularan wabak itu.
Semalam, Trump memuat naik gambar surat yang dihantar kepada Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menurutnya menyatakan pendirian jelas AS.
Dalam surat berkenaan Trump menyenaraikan contoh kegagalan WHO menangani penularan Covid-19, termasuk tidak mengendahkan laporan awal mengenai kemunculan virus itu, selain berat sebelah terhadap Beijing.
“Sudah jelas anda dan organisasi anda berulang kali gagal bertindak terhadap pandemik yang meragut banyak nyawa di seluruh dunia. WHO hanya boleh bergerak ke depan dengan menjarakkan diri dari China,” kata Trump dalam surat tersebut.
“Jika WHO gagal mengambil tindakan substantif dalam tempoh 30 hari, saya akan membekukan terus dana AS kepada WHO dan menimbang semula keanggotaan kami dalam organisasi.”
WHO semalam berkata ia akan melancarkan satu tinjauan bebas berkenaan pandemik Covid-19. – AFP, 19 Mei, 2020.
Komen