Masjid Istiqlal, terbesar di Asia Tenggara, tidak solat sunat Aidilfitri


Anggota Palang Merah Indonesia menyembur pembasmi kuman di luar Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar EPA, 19 Mei, 2020.

MASJID Istiqlal di Jakarta, masjid terbesar di Asia Tenggara, tidak akan mengadakan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah seperti sebelum ini ekoran keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda di Indonesia, lapor CNN Indonesia.

Keputusan itu dibuat oleh Imam Besar Masjid Istiqlal, Nasaruddin Umar, kata laporan itu, memetik pegawai masjid.

“Iya, boleh disahkan Istiqlal tidak akan mengadakan solat (sunat) Aidilfitri,” kata pegawai hubungan masyarakat dan protokol Masjid Istiqlal, Abu Hurairah Abdul Salam, seperti dipetik oleh CNN Indonesia.

Masjid itu malah akan tutup dan tidak beroperasi pada 1 Syawal, tambahnya.

Abu Hurairah menjelaskan keputusan tersebut dibuat kerana penularan Covid-19 masih aktif berleluasa terutamanya di Jakarta, yang masih diletakkan dalam zon merah.

Berdasarkan statistik setakat semalam, Jakarta mengesan 6,059 kes Covid-19 di Jakarta yang berakhir dengan 463 kematian.

Sementara itu, dalam satu laporan lain, ketua badan pengurusan bencana Indonesia, Doni Monardo berkata pihaknya sudah menjelaskan kepada pihak berkuasa agama akan risiko penularan Covid-19 daripada solat sunat Aidilfitri berjemaah, terutama daripada mereka yang positif jangkitan tetapi tidak menunjukkan simptom.

Dalam laporan berkatain, pemerintah di wilayah Jawa Barat dan Sulawesi Selatan tidak juga membenarkan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di tempat awam atau di tempat terbuka.

Pemerintah di wilayah Sumatera Barat bagaimanapun memberi izin hanya untuk daerah zon hijau Covid-19.

Pada Jumaat lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan hujung minggu lalu juga menegaskan pihak berkuasa melarang penduduk Jakarta daripada ke luar daerah untuk sambutan Aidilfitri.

“Virus ini tidak kenal cuti. Ia tidak peduli hari raya atau tidak.

“Jangan kita burukkan keadaan di Jakarta dan merosakkan usaha (pembendungan wabak) sejak dua bulan lalu,” katanya, seperti dipetik The Jakarta Post. – 19 Mei, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen