PERBICARAAN 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menyaksikan bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 25 tuduhan jenayah berkaitan dana awam berjumlah RM2.28 bilion, disambung hari ini selepas terhenti enam bulan.
Najib, 66, berdepan dua lagi perbicaraan jenayah yang sedang berjalan - satu berhubung pertuduhan mengubah laporan audit 1MDB dan satu lagi berkaitan SRC International, yang akan masuk peringkat penghujahan pada 1 Jun.
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan kembali ke kandang saksi bagi perbicaraan hari ke-34 pada petang ini.
Shahrol, 49, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan, pertama kali dipanggil memberi keterangan pada 23 September tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan 1MDB pada 13 November tahun lalu, selepas Shahrol dan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah diberi cuti sakit.
Kali terakhir Shahrol memberi keterangan pada 7 November tahun lalu, yang memberitahu mahkamah ketika soal balas pihak pembela bahawa 1MDB di bawah pengawasan Najib, memindahkan AS$1,83 bilion (RM5,5 bilion) kepada entiti yang kemudian didedahkan oleh penyiasat sebagai syarikat palsu.
Jumlah itu dipindahkan antara September 2009 dan Oktober 2011 kepada syarikat dikawal Low Taek Jho, atau Jho Low, atau sekutunya, CEO PetroSaudi International Tarek Obaid.
Transaksi tersebut termasuk AS$300 juta kepada 1MDB-PetroSaudi Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd pada 30 September 2009, yang dikatakan sebagai modal tunai bagi 40% kepentingan dalam usaha sama dengan PetroSaudi International.
Penyiasat kemudiannya mendedahkan Good Star dikawal oleh Low sementara syarikat usaha sama 100% dikawal oleh PetroSaudi International.
Pada 14 September 2010, 1MDB juga membayar AS$500 juta kepada 1MDB-PetroSaudi Ltd berdasarkan perjanjian pembiayaan Murabaha.
Akhirnya, antara 20 Mei 2011 dan 25 Oktober 2011, empat pembayaran berjumlah AS$330 juta dipindahkan daripada 1MDB kepada Good Star.
Wang itu untuk PetroSaudi International Ltd berdasarkan perjanjian pembiayaan Murabaha, kata Shahrol.
Pihak pendakwaan menuduh Low, Tarek dan Najib bersekongkol menipu syarikat pelaburan negara bernilai berbilion ringgit.
Najib, ketika itu menteri kewangan, adalah pemegang saham tunggal 1MDB sebagai ketua Menteri Kewangan (MoF) Diperbadankan. Beliau juga merupakan ketua lembaga penasihat 1MDB.
Peguambela berkata Najib tidak mengetahui sepenuhnya transaksi 1MDB dan beliau diperdaya oleh Low dan yang lain.
Najib dibicarakan dengan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa memperoleh suapan bernilai RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwa raya Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dan diadili Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 19 Mei, 2020.
Komen