PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan pada Isnin mengumumkan perintah berkurung seluruh Turki semasa cuti Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.
“Perintah berkurung akan bermula petang sehari sebelum hingga akhir perayaan,” kata Erdogan dalam ucapan selepas mesyuarat mingguan Kabinet.
Itu bermaksud bermula dari Sabtu hingga Selasa minggu depan.
Turki melaksanakan perintah berkurang selama seharian, hujung minggu dan kadang-kala lebih lama di puluhan bandar termasuk Istanbul dan ibu kota Ankara sejak awal wabak.
Ini akan menjadi kali pertama negara dengan 83 juta penduduk menjalani perintah berkurung selama empat hari.
Sebagai sebahagian daripada jadual biasa yang diumumkan oleh presiden, masjid akan dibuka kembali untuk beribadah mulai 29 Mei sesuai dengan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agama.
Erdogan berkata sekolah tidak akan dibuka semula bagi tahun akademik kali ini dan sebaliknya akan bermula pada September.
Angka yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan 4,171 kematian koronavirus di Turki dengan lebih 150,000 disahkan positif.
Angka kematian harian turun di bawah 100 dalam beberapa minggu terakhir.
Erdogan menggesa rakyat Turki mengatur kembali kehidupan mereka sesuai dengan “aturan baharu” yang beliau definisikan sebagai “kehidupan sosial terkawal.”
Beliau mengingatkan kerajaan tidak akan teragak-agak melaksaakan langkah lebih keras jika data menunjukkan keadaan semakin buruk. – AFP, 19 Mei, 2020.
Komen