Qatar sahkan 12 banduan positif Covid-19


Qatar mewajibkan penggunaan topeng muka di tempat awam dalam usaha membendung penyebaran virus. – Gambar AFP, 19 Mei, 2020.

QATAR pada Selasa mengesahkan 12 kes di penjara ketika kumpulan Human Rights Watch (HRW)memberi amaran tahanan lain mungkin berisiko dijangkiti penyakit itu.

Dua tahanan jatuh sakit tetapi tidak mengalami penyakit pernafasan, kata Pejabat Komunikasi Kerajaan dalam satu kenyataan yang menafikan terdapat penyebaran wabak di kalangan tahanan.

HRW berkata dalam satu kenyataan yang enam tahanan bukan rakyat Qatar “menggambarkan keadaan penjara yang semakin teruk” di Pusat Penjara Doha.

“Mereka berkata pihak berkuasa penjara turut menyekat akses tahanan bagi mendapatkan rawatan perubatan asas,” tambahnya menggambarkan keadaan itu sebagai “wabak yang jelas”.

Kumpulan itu sebelum ini memberi amaran keadaan sesak dan tidak bersih di penjara di seluruh dunia dan di tempat tinggal pekerja di negara Teluk itu menjadikan jarak sosial tidak mungkin dapat dilakukan dan akan mempercepatkan penyebaran koronavirus.

Hampir 34,000 orang diuji positif Covid-19 di negara itu - 1.2% daripada 2.75 juta penduduk - walaupun hanya 15 orang meninggal dunia.

Kerajaan berkata laporan HRW “berdasarkan khabar angin dan spekulasi tidak berasas daripada sebilangan kecil wawancara yang belum disahkan”.

“(12) pesakit dipindahkan segera ke kemudahan perubatan yang selamat dan khusus ... di mana mereka menerima, atau terus menerima, rawatan perubatan kelas satu,” kata pejabat komunikasi.

“Dua kes mencapai fasa penyakit akut dan dipindahkan ke pusat rawatan di luar lokasi yang ditetapkan di mana mereka mendapat rawatan kesihatan kelas pertama sebelum dipindahkan kembali ke Penjara Pusat selepas pulih sepenuhnya.”

Topeng muka diwajibkan di tempat awam di Qatar sejak Ahad dalam usaha membendung penyebaran virus.

Pelanggar peraturan baru akan dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda sebanyak AS$55,000, hukuman paling berat di dunia kerana gagal memakai penutup muka.

Sesiapa yang meninggalkan rumah juga akan diminta untuk memasang aplikasi pengesanan kontak di telefon mereka mulai Jumaat, lapor Agensi Berita Qatar.

Masjid, sekolah, pusat membeli-belah, dan restoran masih ditutup di Qatar untuk mencegah penyebaran penyakit ini.

Michael Page, wakil pengarah HRW Timur Tengah, menggesa pembebasan “tahanan berisiko seperti orang tua dan mereka yang ditahan atas kesalahan kecil atau bukan kekerasan”.

Pada April, lebih 500 tahanan menerima pengampunan rasmi sebagai tindak balas terhadap krisis koronavirus. – AFP, 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen