PSB kekal pembangkang, kata ahli Parlimen Sri Aman


Tempat duduk di blok kerajaan itu tidak ada kaitan dengan sokongan partinya, yang masih bersama Dr Mahathir Mohamad, kata Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

PARTI Sarawak Bersatu (PSB) masih kekal pembangkang dan tidak menyokong pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, walaupun susunan tempat duduknya di Dewan Rakyat hari ini ditempatkan bersama wakil rakyat Perikatan Nasional.

Katanya, tempat duduk di blok kerajaan itu tidak ada kaitan dengan sokongan partinya, yang masih bersama Dr Mahathir Mohamad.

“Semasa saya tiba di Dewan Rakyat, tempat duduk saya sudah ditetapkan bersama wakil rakyat Perikatan Nasional.

“Oleh sebab tempat duduk sudah ditetapkan, saya tiada pilihan selain duduk di tempat yang diberi.

“Saya hendak jelaskan bahawa saya anggota Majlis Presiden PSB dan PSB ialah parti pembangkang di Persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Jelas Masir, Speaker Dewan Rakyat tidak wajar menempatkan tempat duduknya bersama PN kerana partinya tidak mendukung PN.

Penjelasan Masir menjadikan PN kini mempunyai kelebihan dua kerusi  untuk membentuk kerajaan daripada keseluruhan 22 kerusi di Dewan Rakyat. 

Ini menjadikan kerajaan yang dibentuk selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu merupakan kerajaan majoriti paling kecil dalam sejarah Malaysia.

Awal hari ini, berdasarkan susun atur tempat duduk yang dikeluarkan oleh Parlimen, blok kerajaan mempunyai 114 kerusi, dan sekarang jadi 113 kerusi.

Mana-mana pihak memerlukan gabungan sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mempunyai majoriti mudah membentuk kerajaan.

Kenyataan Masir hari ini mengulangi pendirian beliau dan partinya hujung Februari, selepas berlaku kekeliruan mengenai sokongannya ketika Dr Mahathir dan Muhyiddin mengumpulkan jumlah sokongan untuk masing-masing membentuk kerajaan.

Nama Masir pada ketika itu ada dalam senarai ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir, namun kemudian beliau membuat satu kenyataan video menafikan sokongan sebaliknya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Beliau kemudian menarik balik kenyataan video itu selepas partinya menegaskan pendirian PSB menyokong Dr Mahathir.

Majlis Presiden PSB ketika itu menegaskan, menidakkan kehendak rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu adalah salah.

PSB sebelum ini dikenali dengan nama Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang ditubuhkan pada 2014 sebagai serpihan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Parti ini ketika itu menyokong Barisan Nasional (BN). 

Selepas semua komponen BN di Sarawak meninggalkan gabungan itu susulan kekalahan parti dalam PRU14, PSB kekal sebagai parti bebas yang mendukung kerajaan negeri Sarawak.

Bagaimanapun selepas parti itu diketepikan dalam lantikan di pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri, presidennya Wong Soon Koh letak jawatan daripada kabinet negeri pada Julai 2019. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen