PELAJAR yang pulang ke Sabah dan Sarawak dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Bagi pelajar ke Sabah dan Sarawak mereka perlu menjalani pensampelan Covid-19. Sekiranya keputusan adalah negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham menegaskan bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, kesemua pelajar adalah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di rumah
Kementerian Pendidikan Tinggi sejak 27 April sehingga semalam telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.
Beliau juga menyeru semua pelajar supaya mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah institusi pengajian tinggi yang didapati positif Covid-19 kerana tidak mematuhi arahan kuarantin.
Malaysia hari ini merekod 47 kes baharu Covid-19 dan 44 kes pulih. Tiada kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu setakat ini 113.
Sebanyak 6,941 kes Covid-19 dicatatkan di negara ini, dengan 5,615 disahkan pulih sepenuhnya. – 18 Mei, 2020.
Komen