SINGAPURA meneruskan komitmennya kepada dunia sebagai hab perdagangan; mengekalkan persekitaran perdagangan yang adil dan terbuka dan membenarkan kemasukan barangan penting untuk dihantar ke seluruh dunia di tengah-tengah wabak Covid-19.
“Strategi kepelbagaian kami dalam pembuatan dan kerjasama dengan rakan kongsi di seluruh dunia pada tempoh yang lama juga banyak membantu,” kata Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing dalam catatan di laman Facebook.
Catatan Chan di Facebook itu adalah mengenai angka perdagangan luar yang baru sahaja diumumkan oleh Enterprise Singapore (ESG) yang menunjukkan eksport domestik bukan minyak (NODX) meningkat sebanyak 9.7% tahun ke tahun pada April 2020.
“Ia bulan ketiga berturut-turut Singapura telah menyaksikan peningkatan eksport,” katanya.
Chan berkata pertumbuhan NODX pada bulan April didorong oleh sektor bukan elektronik seperti farmaseutikal dan pembuatan makanan.
“Singapura juga mencatatkan pertumbuhan NODX yang ketara ke Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun dalam ketika ini,” katanya.
Terdahulu, ESG, sebuah agensi kerajaan yang menguruskan pembangunan perusahaan, mengumumkan pertumbuhan NODX adalah pada 9.7% tahun ke tahun bulan lepas, berkurangan daripada 17.6% dicatatkan pada bulan Mac, 2020.
Secara keseluruhan, NODX ke 10 pasaran teratas meningkat pada April 2020, walaupun eksport ke China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia dan Thailand merosot.
Sementara itu, jumlah dagangan menurun 12.8% tahun ke tahun pada bulan tersebut, dengan jumlah eksport jatuh 12.7% tahun ke tahun manakala jumlah import menyusut 13.0% tahun ke tahun. – Bernama, 18 Mei, 2020.
Komen