JIKA dilihat dari susunan tempat duduk pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen walaupun tipis.
Mengikut pelan tempat duduk, seramai 114 ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin, kurang tujuh kerusi berbanding bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai majoriti 10 kerusi pada 2018.
Bagaimanapun, Masir Kujat (PSB-Sri Aman) mengesahkan tempat duduk beliau tersalah letak di blok pembangkang.
Majoriti Muhyiddin hanya akan teruji secara rasmi semasa sidang Dewan Rakyat seterusnya pada Julai.
Dr Mahathir telah menghantar surat kepada kepada Speaker Dewan Rakyat pada 4 Mei dan usul itu diterima, tetapi tidak dapat dibentang pada sidang hari ini yang hanya mengehadkan kepada titah diraja.
Berdasarkan pelan tempat duduk sidang hari ini, 107 ahli Parlimen berada di blok pembangkang - Upko (1), Bersatu (5), Warisan (9), Amanah (11), PKR (39) dan DAP (42).
Baru Bian (Selangau-Bebas), salah seorang daripada sebelas ahli Parlimen PKR yang keluar parti duduk di antara blok kerajaan dan pembangkang.
Sidang hari ini ditangguhkan selepas titah diraja dan Dewan Rakyat dijadual bersidang semula pada 13 Julai ini. – 18 Mei, 2020.
Komen