KES pertama jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan salah satu suku Orang Asli Amazon di Ecuador, kata Kementerian Kesihatan negara itu semalam.
Pertubuhan Waorani yang bercakap menerusi GO Alliance for Human Rights (DDHH) di Ecuador memberi amaran penularan wabak itu boleh menjadi “satu bencana yang boleh memabwa maut” kepada masyarakat itu.
“Kes pertama dilaporkan dalam kalangan suku Waorani membabitkan seorang wanita hamil berusia 17 tahun, yang menunjukkan gejala pada 4 Mei lalu,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Dia dibawa ke sebuah hospital di Quito dan diletakkan dalam wad pengasingan, tambah kenyataan itu tanpa memberikan maklumat lanjut.
Kerajaan dengan kerjasama ketua-ketua puak telah memeriksa 40 orang yang mempunyai kontak dengan wanita tersebut dalam masyarakat Miwaguno yang mempunyai 140 penduduk.
“Tujuh belas orang didapati ada sejarah masalah pernafasan. Sehingga kini, enam daripada mereka menunjukkan gejala, oleh itu 20 ujian pantas dan tujuh ujian swab telah dijalankan,” menurut kenyataan itu lagi.
Ecuador, antara negara Amerika Latin yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, kini melaksanakan perintah berkurung masuk bulan kedua untuk membendung jangkitan.
Negara itu setakat ini melaporkan 33,000 kes dengan 2,700 kematian. – AFP, 18 Mei, 2020.
Komen