Ahli Parlimen berhak kemuka usul undi tak percaya terhadap PM, kata Dr Mahathir


Ragananthini Vethasalam

MANA-mana ahli Parlimen berhak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjanji untuk jatuhkan kerajaan Najib Razak, namun kini bekerjasama dengan orang dari rejim itu.

“Untuk menggerakkan undi seperti itu adalah hak setiap ahli Parlimen, tidak kira kita menang atau kalah.

“Kita dapati prestasi perdana menteri tidak baik untuk negara, jadi kita ada hak sama ada ahli Parlimen parti pembangkang mahupun kerajaan untuk kemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri yang tidak tunai janji,” kata ahli Parlimen Langkawi yang juga bekas perdana menteri di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya mengenai jumlah sokongan mengenai usul undi tidak percaya yang dikemukakan terhadap Muhyiddin.

Dr Mahathir berkata, beliau kemukakan usul untuk sidang Parlimen hari ini, namun kerajaan tidak membenarkannya.

Sidang Parlimen dua jam hari ini hanya terhad kepada titah diraja dan pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, dan kemudian ditangguhkan ke Julai depan.

Dr Mahathir berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu telah terlebih dahulu melangkau kepimpinan parti dengan memutuskan untuk membawa parti keluar daripada Pakatan Harapan dan kemudian mengumumkan Bersatu sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional.

“Sebelum ini beliau tidak mahu bekerjasama dengan pencuri dan penyangak tapi sekarang, kita lihat bukan sahaja mereka dalam kerajaannya tetapi juga mereka yang pernah melakukan jenayah sebelum ini diberi layanan baik.” – 18 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen