Penerbangan bawa pulang pelajar IPT ke Sabah ditangguh


Semua pelajar yang tiba di Sabah diwajibkan menjalani proses kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan sementara menunggu keputusan saringan kesihatan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

PENERBANGAN yang membawa pulang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ke Sabah ditangguhkan bermula hari ini dan akan dijadual semula.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Dr Yusof Yacob berkata penjadualan itu dibuat bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar ke pusat kuarantin di negeri ini.

“Bilangan pelajar yang balik adalah sangat ramai iaitu berjumlah 6,796 orang, maka dijangka akan berlaku kesesakan di pusat-pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan.

“Pusat kuarantin yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pelajar dan orang ramai pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pelajar terlibat agar terus bersabar dan bertenang di tempat masing-masing serta memaklumkan kepada ibu bapa mereka berhubung situasi itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Christina Rundi mengesahkan pihaknya telah memohon agar penerbangan sewaan khas yang membawa pelajar IPT itu dijadual semula.

Beliau berkata permohonan itu dibuat kerana penerbangan itu melibatkan ramai pelajar yang ingin pulang sebelum sambutan Hari Raya.

Christina berkata semua pelajar yang tiba diwajibkan menjalani proses kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan sementara menunggu keputusan saringan kesihatan mereka. – Bernama, 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen