Bantuan kerajaan penyelamat ketika PKP, kata peneroka


Mohd Farhan Darwis

Peneroka hanya mengalami kesukaran pada peringkat awal PKP kerana tidak menerima maklumat jelas sama ada mereka boleh melaksanakan kerja harian di ladang atau sebaliknya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

BANTUAN yang disalurkan kerajaan dan juga Felda meringankan bebanan yang ditanggung peneroka di tengah-tengah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir.

Mereka berkata, kesukaran hanya dirasai pada peringkat awal pelaksanan PKP bermula 18 Mac lalu, kerana mereka tidak menerima maklumat jelas sama ada dibenarkan melaksanakan tugas harian di ladang atau sebaliknya.

Namun, keadaan selepas itu bertambah baik, lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi selain bantuan disalurkan Felda sendiri.

“Kita sewaktu bulan pertama (pelaksanaan PKP) ada sakit sikit sebab kita takut nak keluar rumah ke kebun, waktu itu juga maklumat yang diterima kurang jelas.

“Tapi setakat ini saya sebagai peneroka kurang terasa kesan akibat PKP sebab kerajaan pun ada bagi duit,” kata Abdul Ghani Ishak, 65, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Menurut Abdul Ghani keadaannya lebih bernasib baik kerana mempunyai pencen selepas berhenti daripada perkhidmatan keselamatan sebelum ini.

“Macam saya ada duit pencen bulanan maka tidak terasa sangat, sewaktu bulan pertama itu tidak pergi menoreh, tidak kutip hasil sawit,” kata peneroka dari Felda Tenang, itu.

Sementara itu, Muhammad Danial Aiman, 29, juga berkata operasi harian peneroka Felda tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

Generasi ketiga Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor itu berkata, aktiviti ekonomi seperti aktiviti tuaian hasil kelapa sawit juga berjalan seperti biasa, kecuali pada peringkat awal PKP.

“Urusan hanya terhenti beberapa hari pada awal PKP dilaksanakan dan operasi telah berjalan seperti biasa.

“Peneroka di sini pun hidup seperti biasa dan berasa selamat kerana kawasan Felda di sini antara yang tiada kes Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, bantuan yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dari Felda sendiri turut membantu kehidupan peneroka sepanjang tempoh terbabit.

“Hasil pendapatan memang cukup-cukup tetapi pihak kerajaan persekutuan dan NGO banyak beri sumbangan dari segi bahan makanan basah mahupun kering,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Rata-rata peneroka Felda tidak terjejas dengan penguatkuasaan PKP kerana menerima bantuan daripada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

Ahmad Muzammil Borhan, 32, dari Felda Tenang, Labis pula berkata, keluarganya mampu bertahan sepanjang tempoh itu disebabkan pinjaman wang pendahuluan hasil Felda kerana pokok kelapa sawit menjalani proses penanaman semula.

Namun begitu, kejatuhan harga komoditi itu membuatkannya bimbang akan pendapatan diperolehi hasil jualan kelapa sawit kerana perlu membayar pinjaman berkenaan.

“Kita dapat hasil selepas pendapatan ditolak daripada bantuan sara hidup, kalau harga jatuh pendapatan kita sikitlah, itu sahaja masalahnya.

“Kalau dari segi bantuan memang banyak diterima jadi tidak ada masalah buat peneroka,” katanya.

Katanya, aktiviti jualan di kilang kelapa sawit turut berjalan seperti biasa walaupun kilang pemprosesan ditutup sementara disebabkan berlaku kes positif Covid-19.

“Sebelum ini pun macam sewaktu ada kes positif Covid-19 di Felda Moakil, kilang pemprosesan di sana ditutup jadi buah kelapa sawit kita hantar ke kilang di Felda Selancar, kalau dibiarkan nanti busuk.

“Tak apalah kita hantar buah kelapa sawit yang siap dituai ke kilang jauh sikit janji tidak busuk dan boleh diproses,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian wang tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di samping Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada penerima yang layak, bagi meringankan bebanan rakyat yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Bagi peneroka Felda, Putrajaya juga bersetuju Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 sebanyak RM300 seorang kepada peneroka dalam kategori B40.

Mereka yang layak menerima bantuan itu termasuklah, juga peneroka Felcra, dan pekebun kecil Risda bermula Isnin ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata bantuan khas itu membabitkan anggaran peruntukan sebanyak RM148 juta yang akan disalurkan kepada 113,000 peneroka Felda; seramai 90,000 pengusaha Felcra dalam kategori B40; dan 292,000 pekebun kecil Risda, iaitu mereka mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

Selain itu, Felda juga memperuntukkan sejumlah hampir RM6.3 juta dalam bentuk barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada kira-kira 70,000 keluarga peneroka di 317 tanah rancangan Felda.

Agihan berkenaan dibuat melalui Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) hasil inisiatif Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) bersama Jabatan Pembangunan Peneroka dan Komuniti (JPPK). – 20 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen