KAKITANGAN di sebuah hospital di Brussels memberi sambutan dingin ketika Perdana Menteri Belgia, Sophie Wilmes, dengan membelakangkan badan ketika beliau melawat barisan hadapan yang memerangi wabak koronavirus.
Jururawat dan kakitangan lain berbaris di pintu masuk hospital Saint Pierre di Brussels ketika Wilmes tiba pada Sabtu dan berpaling ketika kereta rasminya melintasi mereka.
Tindakan itu sebagai tanda protes kekurangan sumber di hospital dan menentang keputusan rasmi yang memaksa mereka bekerja jika krisis virus memerlukannya, lapor media Belgium.
“Ahli politik terus menolak rayuan kami untuk mendapatkan bantuan,” kata seorang jururawat yang memprotes, tanpa memberikan namanya kepada penyiar RTBF.
“Kakitangan tidak cukup dan kadar lesu upaya menunjukkannya. Kami mahu profesion dinilai dengan sewajarnya.”
Jurucakap bagi Wilmes berkata, beliau sudah bercakap selama 40 minit dengan perwakilan kakitangan yang memprotes, dan suasana di hospital lebih mesra.
Wilmes menulis di Twitter yang pertemuan dan perbincangan dengan kakitangan hospital adalah “saat penting”.
“Situasi kesihatan, perlindungan, tekanan mental, penghormatan terhadap profesion, pembiayaan penjagaan kesihatan - tiada batasnya,” katanya.
Belgium dilanda wabak dengan salah satu jumlah kematian per kapita tertinggi di dunia, walaupun virus nampaknya semakin berkurangan dan sekatan pengurungan mulai ditarik balik.
Menurut angka rasmi terbaru yang dikeluarkan pada Ahad, Belgium - yang mempunyai kira-kira 11.5 juta penduduk - mencatatkan 55,280 kes Covid-19 yang disahkan, dan 9,052 kematian. – AFP, 18 Mei, 2020.
Komen