PAKATAN Harapan akan hadir sidang Parlimen sehari esok dan bersurai secara aman selepas Titah Diraja, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Dalam siaran langsung di Facebook malam ini, Anwar berkata sudah menjadi tanggungjawab untuk hadir sidang itu bagi memenuhi tuntutan sistem demokrasi berparlimen, raja berpelembagaan.
“Insyallah, esok kita jangka sidang Parlimen akan bersidang dengan Titah Diraja oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang kami terima sebagai tanggungjawab rakyat negara raja berpelembagaan, di mana kami mengiktiraf peranan dan kuasa serta kedaulatan Agong,” katanya.
“Kami di Pakatan Harapan sudah bersetuju yang kami akan tunjukkan rasa hormat dan bersurai secara aman,” tambahnya.
Bagaimanapun, pembangkang akan mengeluarkan kenyataan selepas sesi itu berakhir.
Anwar sepatutnya muncul dalam sesi e-ceramah bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pembantu Setiausaha Publisiti Nasional DAP Yeo Bee Yin menerusi Zoom.
Sesi ceramah dalam talian itu dijadualkan dimudah cara Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun, sesi itu terpaksa dihentikan dengan hanya Anwar sempat bercakap kerana masalah teknikal aplikasi Zoom.
Esok adalah sidang pertama Dewan Rakyat selepas krisis politik yang melanda negara Februari lalu menyebabkan perubahan kerajaan di Putrajaya.
Sidang itu sepatutnya dijadual pada 9 Mac tetapi ditangguhkan sehingga esok. Hanya Titah Diraja akan dibuat esok sebelum sidang ditangguhkan sehingga Julai. – 17 Mei, 2020.
Komen