Kita usir bot Rohingya tapi kita bagi mereka makanan, kata menteri 


Bulan lalu, Malaysia menghalang kemasukan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya bagi mengelakan penularan wabak maut itu. – Gambar AFP, 17 Mei, 2020.

KEPUTUSAN Putrajaya mengusir bot yang membawa pelarian Rohingya merupakan keputusan tepat, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan bersikap kejam tetapi menjelaskan pelarian itu diberikan makanan sebelum diusir.

“Kita usir bot Rohingya tetapi kita tidak kejam. Kita beri mereka makanan. Kita tidak benarkan mereka masuk,” kata menteri pertahanan itu pada sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Bulan lalu, Malaysia menghalang kemasukan sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya bagi mengelakan penularan wabak maut itu.

Tindakan Malaysia itu dikecam oleh kumpulan hak asasi dan kumpulan sivil.

Berhubung isu pendatang haram yang ditahan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata mereka akan didakwa di mahkamah sebelum dihantar pulang.

“Mereka juga perlu berdepan undang-undang dan sebaik sahaja PKP berakhir, kita akan menghantar mereka pulang.

“Kita akan berhubung dengan kedutaan masing-masing.”

Putrajaya juga dikecam kerana melakukan serbuan di kawasan PKPD bagi menangkap pendatang haram.

Pada awal pelaksanaan PKP, kerajaan memberi jaminan kepada warga asing bawah tiada tindakan akan diambil bagi menggalakkan mereka tampil menjalani ujian saringan Covid-19.

Bagaimanapun Putrajaya dikritik kerana memungkiri janji itu. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen