Malaysia Airlines bawa pulang 143 rakyat terkandas di Australia


Malaysia Airlines juga menumpukan operasi penerbangan kargo berbanding penumpang untuk membawa peralatan penting dan bekalan ke pelbagai destinasi mengikut rangkaiannya bagi memerangi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

MALAYSIA Airlines membawa pulang 143 rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia menerusi satu penerbangan ihsan baru-baru ini.

Pesawat Airbus 330-300 membawa 143 penumpang melibatkan pelajar dan pelancong termasuk warga emas.

Penerbangan MH148 itu berlepas pukul 9.16 malam pada 15 Mei selepas tertangguh akibat masalah bekalan kuasa di Lapangan Terbang Melbourne dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 5.49 pagi pada Sabtu.

“Susulan masalah yang dihadapi rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia, Malaysia Airlines melakukan penerbangan ihsan untuk membawa pulang rakyat kita,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan.

Ini juga merupakan kali pertama rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke tanah air sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Dengan situasti global yang sukar, kita berharap penerbangan ihsan ini dapat menyatukan semula keluarga yang terpisah,” katanya.

Malaysia Airlines juga menumpukan operasi penerbangan kargo berbanding penumpang untuk membawa peralatan penting dan bekalan ke pelbagai destinasi mengikut rangkaiannya bagi memerangi Covid-19.

Syarikat itu membawa 35 tan kargo penting termasuk surat dan sarung tangan pembedahan dari Kuala Lumpur ke Melbourne pada 14 Mei lalu. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen