LANGKAH menyembur bahan kimia di jalanan seperti dilakukan sesetengah negara tidak mampu menghapuskan Covid-19, sebaliknya mengundang risiko bahaya kesihatan, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Dalam satu dokumen tentang langkah pembersihan dan membasmi kuman di permukaan bagi menghapuskan virus itu, WHO berkata tindakan menyemburnya boleh jadi tidak berkesan.
“Semburan di ruangan terbuka seperti jalanan dan pasar awam tidak digalakkan kerana tidak membunuh virus Covid-19 atau pantogen lain kerana bahan pembasmi kuman tidak aktif melalui debu atau sampah,” jelas WHO.
“Walaupun tanpa bahan organik, penyemburan bahan kimia tidak mungkin meliputi semua permukaan dengan secukupnya sepanjang tempoh kontak yang diperlukan untuk mematikan patogen.”
WHO berkata jalanan dan laluan pejalan kaki tidak dianggap sebagai lokasi jangkitan Covid-19 serta penyemburan bahan kimia di tempat terbuka boleh membahayakan kesihatan manusia.
Dokumen itu menekankan bahawa semburan bahan kimia ke atas individu tidak digalakkan sama sekali.
“Tindakan ini boleh membahayakan secara fizikal dan psikologi serta tidak mengurangkan risiko penyebaran virus menerusi titisan atau kontak,” kata dokumen itu.
Tambahnya penyemburan klorin atau bahan kimian lain ke atas manusia boleh menyebabkan kegatalan mata dan kulit serta kesan kesihatan yang lain.
WHO berkata mengikut kajian, penyemburan bahan kimia secara sistematik ke permukaan di ruangan dalaman juga tidak berkesan menghapuskan virus maut itu.
“Jika mahu membasmi virus ini, ia perlu dilakukan menerusi cara mengelap permukaan menggunakan kain yang direndam dengan bahan kimia kain,” kata WHO.
Covid-19 menyebabkan pandemik yang membunuh lebih 300,000 orang di seluruh dunia sejak ia muncul pada Disember di China.
Virus itu dipercayai mampu bertahan di permukaan dan objek walaupun tiada maklumat tepat menunjukkan tempoh ia mampu bertahan di pelbagai jenis permukaan.
Kajian menunjukkan virus itu boleh bertahan di beberapa jenis permukaan selama beberapa hari.
Tetapi tempoh itu hanya secara teori kerana ia direkodkan di dalam makmal, bukannya di persekitaran sebenar. – AFP, 17 Mei, 2020.
Komen