ITALI akan membuka semula sektor pelancongan untuk pelancong dari Eropah seawal Jun dan memansuhkan tempoh 14 hari kuarantin, kata kerajaan negara itu hari ini.
Perdana Menteri Giuseppe Conte pada awal Mac mengarahkan perintah pengurungan bagi membendung pandemik Covid-19 yang setakat ini membunuh lebih 31,000 orang di Itali.
Namun langkah itu memberi kesan teruk terhadap ekonomi dan kerajaan berharap langkah membuka semula sektor pelancongan mampu menjana semula ekonomi negara itu.
Walaupun Itali tidak pernah menutup sempadannya secara rasmi, tetapi kerajaan melarang pergerakan pelancongan dan mengenakan perintah pengasingan diri selepas dua minggu bagi ketibaan baharu.
Pada Mac, Kesatuan Eropah (EU) melarang warga asing memasuki zon Schengen iaitu zon sempadan terbuka yang melibatkan 22 daripada 27 anggotanya.
Namun kelonggaran diberikan kepada petugas kesihatan dan perjalanan penting.
Namun pada Rabu, EU sedia mengumumkan pelan untuk membenarkan semula pelancongan dengan menggesa negara anggota membuka semua sempadan antara sesama negara Eropah.
Dalam satu kenyataan media, kerajaan Itali tidak menyatakan sama ada warga asing dibenarkan memasuki negara itu, tetapi langkah baharu akan dilaksanakan bagi mematuhi peraturan EU.
Bermula 3 Jun, semua pengunjung dalam zon Schengen akan dibenarkan memasuki Itali tanpa perlu berkurung selama 14 hari.
Warga Itali juga boleh merentas antara wilayah tetapi pergerakan akan dihadkan jika kes baharu meningkat.
Antara lainnya, restoran dan kedai gunting rambut akan dibenar beroperasi bermula Isnin, dua minggu lebih awal daripada dirancang.
Kedai juga akan dibuka dan rakyat Itali akan dibenar bertemu rakan mereka selagi tinggal di wilayah sama.
Bagaimanapun aktiviti yang melibatkan ramai orang berkumpul di satu-satu tempat masih dilarang. – AFP, 16 Mei, 2020.
Komen