HANYA 17 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan satu kematian turut dicatatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini menjadikan keseluruhan kes jangkitan sebanyak 6,872 manakala angka kematian meningkat 113 orang.
Daripada keseluruhan kes baharu hari ini, enam daripadanya merupakan kes import manakala baki 11 lagi melibatkan jangkitan tempatan.
Jumlah kes baharu hari ini merupakan yang kedua terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Pada 12 Mei lalu, hanya 16 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 72 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 5,512.
Katanya kes kematian ke-113 melibatkan seorang wanita dari Sabah yang mempunyai rekod kesihatan kanser dan darah tinggi.
“Mangsa merupakan staf kementerian kesihatan yang dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas, Sabah pada 5 Mei selepas kesihatannya merosot.
“Wanita itu meninggal dunia pada 7 Mei pukul 1.30 petang,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,247 kes aktif dengan 13 pesakit masih mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi dengan lima pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – 10 Mei, 2020.

Komen