Pakistan lanjut sekatan penerbangan antarabangsa


Pakistan menggantung operasi penerbangan antarabangsa pada 21 Mac berikutan jangkitan Covid-19 dari luar negara, terutamanya dari Iran dan negara Teluk. – Gambar AFP, 16 Mei, 2020.

KERAJAAN Pakistan melanjutkan sekatan operasi penerbangan antarabangsa sehingga akhir bulan ini dan mengumumkan menyambung semula perkhidmatan domestik secara berperingkat, lapor agensi berita Xinhua.

Media tempatan memetik Menteri Penerbangan, Ghulam Sarwar Khan, berkata sekatan penerbangan antarabangsa dilanjutkan sehingga 31 Mei tetapi pesawat dan kargo yang mendapat kelulusan khas dibenarkan meneruskan operasi.

Pakistan menggantung operasi penerbangan antarabangsa pada 21 Mac berikutan jangkitan Covid-19 dari luar negara, terutamanya dari Iran dan negara Teluk.

Menteri itu berkata kira-kira 20% penerbangan domestik akan kembali beroperasi di lima lapangan terbang utama  di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta, dan Peshawar. 

Jumlah kes positif COVID-19 di Pakistan meningkat kepada 38,799 dengan 834 kematian dan 10,880 pesakit sembuh, menurut data Kementerian Kesihatan pada Sabtu pagi. – Bernama, 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen