Kongres AS lulus pakej bantuan AS$3 trilion


Kongres Amerika Syarikat (AS) melancarkan pakej bantuan Covid-19 bernilai US$3 trilion, merangkumi dana untuk negeri dan kerajaan tempatan. – Gambar AFP, 16 Mei, 2020.

KONGRES Amerika Syarikat (AS) melancarkan pakej bantuan Covid-19 bernilai US$3 trilion, merangkumi dana untuk negeri dan kerajaan tempatan serta pembayaran langsung tambahan kepada individu, lapor agensi berita Anadolu.

Akta ‘Health and Economic Recovery Omnibus Emergency Solutions’ (HEROES) diluluskan oleh Kongres yang dikuasai Demokrat dengan 208 undi menyokong berbanding 199. 

Seramai 14 ahli Demokrat menentang rang undang-undang itu dan seorang Republikan menyokong. 

Rang undang-undang itu kini akan dibentangkan ke Senat yang dikuasai Republikan dan ada pihak menganggap ia bakal ditolak sejurus tiba di di dewan berkenaan.

“Ditolak sebelum dibentangkan. Sudah tentu, Nancy Pelosi tahu mengenai perkara itu,” kata Presiden Donald Trump kepada wartawan pada Rabu.

Selain menyediakan dana AS1 trilion untuk negeri, pihak berkuasa tempatan dan suku kaum, draf akta itu juga akan memberikan bayaran langsung tambahan AS$1,200 kepada rakyat Amerika, mewujudkan dana AS$200 bilion elaun petugas barisan hadapan dan mewujudkan dana berasingan AS$175 bilion bagi membantu individu membayar bayar sewa dan ansuran gadai janji.  

Undang-undang itu juga akan memperluas manfaat kepada golongan tidak bekerja ketika AS bergelut dengan peningkatan kadar pengangguran yang terburuk sejak Great Depression 1929. – Bernama, 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen