Sri Petaling bukan lagi zon merah Covid-19


SRI Petaling, yang menjadi kluster Covid-19 terbesar di negara ini, tercetus daripada perhimpunan empat hari jemaah tabligh, kini bukan lagi zon merah, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur itu diletakkan di zon kuning daripada merah, selepas jumlah kes aktif turun daripada 41 kepada 30 kes semalam, setakat 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, semalam KKM melaporkan 11 kes baharu dari kluster tabligh Sri Petaling, menjadikan jumlah keseluruhan 2,364 daripada kumpulan itu.

Setakat ini, jumlah sampel diambil daripada kluster itu ialah 38,411.

Sementara itu, Pudu diletakkan di zon merah selepas melaporkan 10 lagi kes aktif Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan 50 kes aktif.

Kawasan itu kini dikenakan perintah kawalan pergerakan separa ketat.

Di Sarawak, Serian dari zon hijau, ke zon kuning selepas melaporkan lima kes baharu Covid-19.

Kira-kira 16,000 orang dari seluruh negara termasuk pelancong luar negara menghadiri perhimpunan keagamaan itu yang menyebabkan wujudnya beberapa sub kluster di negara ini.

Jumlah kes baharu Covid-19 setakat semalam ialah 36, menjadikan jumlah keseluruhan 6,855 dengan 1,304 kes aktif. Jumlah kematian masih 112. – 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen