PANDEMIK Covid-19 kini menjangkiti 38 kumpulan orang asli di Brazil, kata Persatuan Orang Asli Brazil (APIB) semalam.
“Virus itu menjangkiti wilayah pribumi di seluruh Brazil dengan pantas,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
Tinjauan APIB mendapati 446 kes baharu Covid-19 dan 92 kematian dicatatkan dalam kalangan kumpulan terjejas terutamanya di Amazon Brazil.
Berita menakutkan itu dilaporkan sehari selepas masyarakat Orang Asli Parque das Tribos, di luar bandar Manaus utara mengadakan pengebumian untuk ketuanya Messias Kokama yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Kokama yang berusia 53 tahun dikebumikan dalam keranda tertutup yang dibungkus plastik untuk mengelakkan penyebaran virus.
Brazil, negara Amerika Latin yang paling teruk terjejas akibat wabak ini telah menyaksikan jumlah kematian yang meningkat.
Setakat ini hampir 15,000 kematian dengan 220,000 kes dicatatkan walaupun pakar berkata angka sebenar mungkin 15 kali lebih tinggi atau lebih.
Pandemik ini juga membuka peluang untuk pembalak liar menceroboh tanah penduduk orang asli berkenaan, kata kumpulan hak asasi manusia Survival International. – AFP, 16 Mei, 2020.
Komen