KTMB terjejas teruk akibat PKP


Noel Achariam

MASA depan 6,000 pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berada dalam bahaya selepas jumlah penumpang syarikat kereta api itu menurun sekitar 80 peratus semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Penurunan itu dijangka meningkat walaupun Putrajaya sudah melonggarkan beberapa larangan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kerana perjalanan antara negeri masih dilarang kecuali untuk kes kecemasan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Razak Md Hassan berkata pengendali kereta api milik kerajaan itu terkesan teruk susulan wabak Covid-19.

“KTMB mengalami kerugian berikutan pelaksanaan PKP apabila jumlah penumpangnya turun sebanyak 80%.

“Syarikat akan terus hilang pendapatan dan walaupun dengan PKPB, jumlah penumpang masih menurun lebih 65%.

“Dan untuk jangka panjang, ia akan mempengaruhi operasi syarikat kereta api ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, pihak mereka berharap Putrajaya dapat membuat rancangan jangka panjang bagi mempertahankan operasi KTMB.

“Jika kerajaan menyuntik dana kepada syarikat milik mereka ini, ia akan dapat membantu mempertahankan operasi kami,” katanya.

“Ini akan membantu untuk kos gaji dan operasi. Putrajaya perlu memberikan peruntukan khas kerana KTMB adalah sebahagian dari perkhidmatan penting.  

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB Razak Md Hassan berkata pengendali kereta api milik kerajaan itu terkesan teruk susulan Covid-19 yang menyebabkan kerugian besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

“Tidak banyak keuntungan yang diperoleh tetapi kami dapat memberi perkhidmatan untuk rakyat.

“Jika kerajaan tidak membantu KTMB, bagaimana kita nak berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Razak berkata adalah penting untuk kerajaan memikirkan cara membantu KTMB walaupun PKP sudah berakhir.

“Masih belum ada vaksin untuk Covid-19 dan kami tidak tahu berapa lama atau bila operasi kami dapat pulih sepenuhnya.

“Mungkin lebih dari setahun. Untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu terus menyuntik dana kepada syarikat,” katanya.

Kos operasi bulanan semasa KTMB berjumlah RM45.3 juta.

The Malaysian Insight melaporkan pada Januari bahawa KTMB dijangka mengalami kerugian sekitar RM100 juta pada 2019 kerana operasi tidak mendatangkan keuntungan selain kerugian terkumpul sebanyak RM2.83 bilion pada 2018. – 19 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen