Teater muzikal Frozen tutup panggung kerana Covid-19


Panggung St. James Theatre di New York ditutup pada masa ini kerana Covid-19. Teater muzikal Frozen umum penutupan kekal pementasannya di panggung itu. – Gambar AFP, 16 Mei, 2020.

TEATER Frozen– yang diadaptasikan daripada filem pecah panggung Disney – tidak akan dibuka semula tayangannya di Broadway, kata syarikat produksinya semalam, menjadikan ia pementasan muzikal pertama mengumumkan penutupan terus akibat pandemik koronavirus.

Pementasan itu mengadakan 851 persembahan setakat ini sejak pembukaannya di St. James Theatre di New York pada Mei, 2018.

Staf teater itu kecewa dengan penutupan berkenaan, kata syarikat produksi.

Menurut Broadway World, “Frozen” menjana pendapatan kira-kira AS$155 juta di pentas dan ditonton oleh lebih 1.35 juta penonton.

“Beetlejuice”, satu lagi teater dengan bajet besar, sudah mengumumkan tidak akan kembali ke pentas, walaupun pementasannya ditangguhkan hingga hujung Jun.

Pementasan “Hangmen” – yang belum dibuka dan “Who’s Afraid of Virginia Woolf?” juga mengumumkan penutupan masing-masing.

Persatuan profesional Broadway pada Selasa mengumumkan panggung teater terkenal di New York itu akan kekal ditutup sehingga 6 September, dan pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan tempoh ia mungkin dibuka semula.

Pada Selasa, pementasan pasangan terkenal Matthew Broderick dan Sarah Jessica Parker menerusi pementasan yang ditunggu-tunggu, “Plaza Suite” diumumkan ditangguhkan hingga Mac 2021. Pada awalnya, tarikh tayangan ialah Mac lalu.

Frozen mungkin akan mengadakan siri jelajah di Amerika Utara atau terus mengadakan persembahan di London, Sydney, Hamburg dan Tokyo, kata produknya.

Pementasan pertama pada masa ini dijadualkan pada hujung Oktober di London dan awal Disember di Sydney.

Jelajah ke Amerika Utara dijadualkan bermula di Boston pada 9 September. – AFP, 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen