Lebih 400 pekerja telaga minyak Kazakhstan positif Covid-19


Jumlah jangkitan di telaga minyak syarikat Tengiz itu naik daripada 17 pada Khamis kepada 401 pada Jumaat, kata pegawai kesihatan daerah Atyrau. – Gambar AFP, 15 Mei, 2020.

LEBIH 400 orang telaga minyak utama Kazakhstan disah positif Covid-19, kata pegawai kesihatan hari ini.

Jumlah jangkitan di telaga minyak syarikat Tengiz itu naik daripada 17 pada Khamis kepada 401 pada Jumaat, kata pegawai kesihatan daerah Atyrau.

Menurut mereka, pekerja dijangkiti sedang dirawat dan kontak rapat mereka sedang dijejak.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Yelzhan Birtanov pada Khamis mengecam persekitaran kuarantin di telaga minyak itu.

“Bilik untuk pekerja dan kantin berkongsi koridor sama, tiada pengasingan,” katanya dipetik media tempatan.

“Pada waktu kerja dan rehat, pekerja berkomunikasi antara satu sama lain, menyukarkan untuk menghentikan penularan jangkitan.”

Bulan lepas, 500 pekerja enggan pergi bekerja kerana bimbang jangkitan virus itu, lapor media lagi.

Hampir 17,000 pekerja sudah dipindahkan keluar daripada telaga minyak yang diuruskan Tengizhevroil, yang 50% dimiliki oleh Chevron.

Operasi utama termasuk pengeluaran masih diteruskan di sana yang mengeluarkan 29.8 juta tan minyak pada 2019, meletakkannya di tempat ketiga telaga minyak utama di Kazakhstan.

Kazakhstan melaporkan 5,689 kes dengan 34 kematian. – AFP, 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen