Tiada lagi zon merah Covid-19 di Sarawak


Seorang pekerja warga asing menjalani saringan Covid-19 di Ampang, Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysin Insight, 15 Mei, 2020.

SETELAH lebih sebulan dikategorikan sebagai zon merah dalam klasifikasi kes positif Covid-19, daerah Kuching hari ini kini berstatus zon kuning apabila bilangan kes baharu yang dilaporkan adalah kurang dari 40 dalam tempoh 14 hari lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Amar Douglas Uggah Embas turut mengumumkan tiada kes positif baharu penyakit itu dilaporkan di seluruh negeri ini bagi mengekalkan sifar kes sejak semalam.

“Enam kes positif Covid-19 yang dirawat di Hospital Umum Sarawak telah sembuh. Daripada keseluruhan jumlah kes (sebanyak 544 yang direkodkan), 74.45 peratus (405 kes) telah sembuh,” katanya, yang juga Timbalan Ketua Menteri, dalam sidang media harian perkembangan penyakit itu di negeri ini.

Menurutnya memandangkan terdapat kluster baharu dikenali Kluster Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di luar Sarawak dilaporkan, semua individu yang baru tiba di negeri ini dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan diambil sampel dan disaring sebelum dikuarantin sementara menanti keputusan ujian sampel mereka.

“Sekiranya keputusan sampel mereka adalah negatif, barulah mereka dibenarkan pulang, dipasangkan “wristband” (jalur pergelangan tangan) dan seterusnya menyambung kuarantin di rumah (masing-masing),” katanya. – Bernama, 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen