100 bayi lahir dari ibu tumpang di Ukraine belum dituntut


Lebih 100 bayi yang lahir melalui proses ibu tumpang di Ukraine belum diambil oleh ibu bapa masing-masing ekoran sempadan negara itu ditutup bagi membendung penularan pandemik Covid-19. – Gambar fail AFP, 15 Mei, 2020.

LEBIH 100 bayi yang lahir melalui proses ibu tumpang di Ukraine belum diambil oleh ibu bapa masing-masing ekoran sempadan negara itu ditutup bagi membendung penularan pandemik Covid-19, kata pihak berkuasa semalam.

Bayi-bayi yang belum diambil ini menunggu ibu bapa mereka dari Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Ukraine menutup sempadannya sejak jangkitan virus itu dikesan sejak pada Mac.

“Lebih 100 bayi di beberapa pusat perubatan di Ukraine sedang menunggu untuk diambil ibu bapa masing-masing,” kata Ombudsman Ukraine Lyudmila Denisova kepada pemberita.

Bilangan itu dijangka akan meningkat sehingga perintah berkurung ditarik balik, tambah beliau.

Denisova berkata 51 bayi ditempatkan di sebuah hotel di Kiev, yang dimiliki oleh klinik di ibu negara Ukraine itu. Lima belas daripada mereka bersama ibu bapa, manakala 36 lagi dijaga oleh kakitangan klinik.

Denisova menambah, klinik-klinik yang terlibat membuat rayuan kepada Kementerian Luar Ukraine agar ibu bapa dibenarkan masuk ke negara itu untuk mengambil bayi mereka, tetapi asih belum dapat respons.

Khidmat ibu tumpang diharamkan di kebanyakan negara Eropah tetapi dibenarkan di Ukraine.

Ukraine popular bagi warga asing yang mencari ibu tumpang. – AFP, 15 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen